Malaysiakini BERITA

'PAS berpeluang menang jika 75% keluar mengundi'

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Calon PAS berpeluang merampas kerusi DUN Tenang jika sekurang-kurangnya 75 peratus pemilih berdaftar keluar mengundi dalam pilihan raya kecil Ahad ini, kata ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman.

NONE Katanya, berdasarkan beberapa perkembangan baru yang diperolehinya, calon PAS serta jentera Pakatan Rakyat berjaya mendapat reaksi “positif” khususnya di kawasan perkampungan tradisi dan di masyarakat Felda yang sebelum ini sukar ditembusi.

Kampung tradisi yang terdapat di DUN Tenang adalah Kampung Redong, Air Panas dan Kampung Tenang.

“Di kampung tradisi kita mengambil pendekatan 'sentuhan peribadi'. Oleh kerana rumah di kampung tradisi  tidak banyak, ia lebih mudah untuk kita terus berjumpa dengan pengundi.

“Perkampungan tradisi tidak terikat dengan badan-badan tertentu. Persepsi mereka berubah tentang PAS yang dikatakan sebagai kumpulan radikal atau ekstrem. Jadi mereka melihat kita berbeza.

tenang by election day 1 230111 mohd azahar with girl “Kita berkampung di sana dan bahkan bila adanya kematian, mereka menyuruh kita memimpin tahlil,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas satu sidang media.

Mazlan berkata calon PAS Normala Sudirman berjaya mendapat respons positif dari pengundi di Kampung Payah Merah – tempat tinggal calon BN, Mohd Azahar Ibrahim ( atas, kanan ).

Cikgu Mala disambut baik

Katanya, daripada 60 orang pengundi yang ditemuinya, mereka menyambut baik kehadiran calon PAS yang lebih dikenali dengan Cikgu Mala dan ada di antara mereka mempelawa masuk ke dalam rumah.

NONE Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat bagaimanapun menyuarakan kebimbangannya apabila pihaknya berhadapan dengan kekangan iaitu kesukaran pengundi Melayu dan Cina pulang ke kampung.

Ini  kerana, mereka perlu berulang disebabkan tarikh pengundian 30 Januari diselangi dengan sambutan Tahun Baru Cina tiga hari selepas itu.

Sehubungan itu pihaknya kini sedang memikirkan starategi untuk merangsang pengundi Cina dan Melayu untuk pulang mengundi pada 30 Januari ini.

Ditanya mengenai strategi PAS untuk menarik lebih ramai pengundi di ketiga-tiga Felda – Felda Tenang, Felda Chempelak, dan Felda Chempelak Barat – beliau berkata PAS memasuki fasa terakhir bagi menarik kumpulan tersebut.

Katanya, fasa pertama dilalui sejak penamaan calon sehingga hari ini, pihaknya mengadakan siri ceramah dan dialog dengan membarisi tokoh Pakatan Rakyat dan peguam memberi penerangan mengenai isu semasa termasuk isu-isu Felda.

NONE “Fasa terakhir ini kita fahamkan supaya mereka ada keberanian (untuk menuntut) apa yang mereka mahukan. Kita lontarkan isu berbangkit supaya mereka tahu apa komitmen kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya kini menggiatkan kempen bertemu pengundi di kedai kopi atau gelanggang futsal dan memberi penerangan dalam ceramah kelompok mengenai isu berbangkit di Felda.

“Nampaknya pendekatan ini lebih positif supaya mereka lebih memahami (mengenai isu tesebut). Ada di antara mereka tidak tahu hak mereka sebagai warga Felda,” katanya.