Kumpulan Pro-Aspirasi (pro-A) menang 12 kerusi tanpa bertanding selepas tamat proses penamaan calon bagi pilihan raya kampus Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Daripada jumlah tersebut, pro-A menang lima kerusi fakulti di kampus induk di Pulau Pinang, iaitu masing-masng satu di fakulti seni, bahasa dan terjemahan, komunikasi, farmasi dan sains komputer.
Manakala tujuh kerusi lagi dimenangi pro-A di kampus cawangan Nibong Tebal.
Keputusan tersebut diumumkan oleh timbalan naib canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Omar Osman petang tadi di pusat cahaya, yang menjadi pusat aktiviti mahasiwa di USM.
Sementara itu, kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) pula tidak menang sebarang kerusi tanpa bertanding.
Pilihan raya kampus USM menawarkan 39 kerusi untuk dipertandingkan di kampus induk (26) dan kampus cawangan di Kubang Kerian (6) dan Nibong Tebal (7).
Jurucakap pro-M, Mohd Hanif Alias, ketika dihubungi, berkata pihaknya tidak meletak calon di 12 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding oleh pro-A.
Katanya, pro-M memperuntukkan lima kerusi di kampus induk untuk calon Cina tetapi pihaknya tidak mempunyai calon untuk bertanding.
Mohd Hanif berkata, pihaknya tidak meletakkan calon bagi tujuh kerusi di kampus cawangan Nibong Tebal kerana masalah 'teknikal'.
Beliau bagaimanapun, enggan menyatakan bentuk masalah 'teknikal' yang dihadapi pihaknya.
Sementara itu, di Universiti Putra Malaysia (UPM), kumpulan itu turut menang tanpa bertanding di 5 daripada 43 kerusi yang dipertandingkan.
Keputusan itu diperoleh apabila tiada calon daripada pasukan lawan mereka menghantar calon.
Lima kerusi itu adalah Fakulti Teknologi Maklumat (2 kerusi), Fakulti Sains Komputer (2) dan Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan (2 kerusi).
