Sebuah sajak dalam majalah Aliran Monthly edisi terbaru dikecam kerana didakwa "berbahaya dan terlalu mengapi-api" serta "menanam kebencian terhadap orang Melayu."

"Ia (sajak itu) dengan mudah mendorong perselisihan dan keganasan kaum kecuali pihak berwajib bertindak tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menerbitkannya," kata dua pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Puisi bertajuk 'Kingdom of Purplaya' yang ditulis oleh Cecil Rajendra itu diterbitkan di halaman 20 dalam majalah bulanan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) yang diedar pertengahan Mac lalu.

"Sajak itu menghina Melayu dengan menuduh secara palsu bahawa kaum itu mengambil alih hak Orang Asli," kata satu kenyataan bersama dua organisasi itu hari ini.

"Cecil, seperti juga parti PAP (Parti Tindakan Rakyat) pada 1960-an lalu, memalsukan fakta sejarah dengan menganggap orang Melayu sebagai pendatang dari Indonesia. Sajak itu sungguh provokatif dan cauvinistik," kata Presiden Pemenang, Datuk Mohd Yussof Latiff dan Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

"Penulisnya juga mengutuk sistem politik negara ini sebagai apartheid-autocracy yang mengamalkan sistem kuota untuk manfaat orang Melayu dan keturunan mereka."

Tambah mereka, Cecil menganggap orang Melayu dibenarkan mengkritik pihak-pihak lain, sementara orang bukan Melayu akan menghadapi tekanan atau penjara sekiranya mereka mengkritik kerajaan.

"Pemenang dan Teras menganggap Cecil cuba memutar-belitkan dan memalsukan fakta sejarah berhubung kedudukan orang-orang Melayu di Malaysia dengan tujuan menghina mereka," kata dua pertubuhan itu lagi.

Mereka juga mendakwa puisi tersebut bersifat menghasut, menanam rasa benci orang bukan Melayu terhadap Melayu dan juga menggugat perpaduan nasional di negara ini.