BERITA

Khir Toyo: Mungkin video dicipta mereka sendiri

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Mac 2011, 11:05 tengahari

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo menggesa BN supaya tidak menggunakan "isu-isu dalam kelambu" Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melemahkan Pakatan Rakyat, terutamanya menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Ini kerana, kata Dr Khir, rakyat tidak mengukur keburukan pemimpin politik tetapi menilai kejayaan pemerintahan dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pendidikan yang sedang dilaksanakan .

NONE "Justeru saya khuatir ialah kemungkinan video sebegini dicipta oleh mereka yang mahu memerangkap BN.

"Jika BN terlalu ghairah memainkan isu ini dan akhirnya terbukti lelaki tersebut bukan Anwar, maka Anwar akan mendapat kemenangan besar dari segi populariti politiknya," tulis Dr Khir ( kiri ).

Beliau menulis dalam blognya hari ini mengenai pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar yang juga ketua pembangkang oleh seorang individu yang dikenali sebagai 'Datuk 'T' di Carcosa Seri Negara semalam.

Dr Khir berkata jika ada lelaki lain yang hampir seiras dengan Anwar mengaku beliau lelaki dalam video berkenaan maka, ia boleh menukar persepsi ramai.

"Malahan jika terbukti kemudiannya lelaki dalam video tersebut bukan Anwar, maka beliau akan menggunakan isu ini untuk menjustifikasikan segala tuduhan lain terhadap beliau termasuk kes mahkamah beliau sebagai fitnah dan konspirasi.

"Justeru, apakah kita mahu menolak kemungkinan video ini merupakan satu strategi politik Pakatan membersihkan Anwar?

"Melihat strategi politik Anwar sejak zaman pelajar dahulu sehingga sekarang, maka kemungkinan ini bukanlah sesuatu yang mustahil," dakwa Dr Khir lagi sambil menambah pendedahan video tersebut "tidak membabitkan BN".

Tahap keselamatan hotel

Bekas ketua pembangkang DUN Selangor itu juga mempersoalkan sama ada penafian yang dibuat Anwar itu mencukupi kepada umum.

"Apakah kata-kata Anwar masih dianggap kata-kata yang suci dan bersih? Anwar menyatakan ini taktik jahat BN. Bukankah Anwar sendiri mahaguru segala strategi politik menuduh dan memfitnah ini?

azlan "Saya tidak menyatakan lelaki dalam video tersebut ialah Anwar atau pun bukan kerana saya belum menontonnya. Cuma cara Anwar mempertahankan dirinya dengan cara melabelkan pendedahan ini merupakan agenda jahat Barisan Nasional menjelang pilihan raya Sarawak sangat klasik dan klise sifatnya," katanya.

Dr Khir berkata walau apa pun kebenarannya, masyarakat akan terus dihujani "perbincangan-perbincangan dalam kelambu yang memalukan" dan akhbar akan terus dihiasi dengan cerita-cerita yang memalukan untuk bacaan kanak-kanak.

"Selain itu, pendedahan video perlakuan seks di hotel ini selepas kes (Presiden MCA) Datuk Seri Chua Soi Lek menimbulkan tanda tanya mengenai tahap keselamatan di hotel-hotel di negara ini," katanya.

Sementara itu, mengulas politik Sarawak, Dr Khir berkata pengumuman persaraan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta penumpuan pembangunan di Malaysia Timur sudah cukup mencerahkan peluang BN.

"Malahan tindakan (Abdul) Taib Mahmud mengetuai jentera pilihan raya negeri akan datang merupakan kelebihan besar kepada BN. Justeru BN tidak memerlukan pendedahan video seperti ini untuk melemahkan Pakatan," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.