BERITA

Lebih 100 anjur demo anti-sisa radioaktif

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mac 2011, 9:17 pagi

Kira-kira 100 orang berkumpul di depan simpang masuk ke bangunan  Parlimen kerana membantah pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.

NONE Mereka terdiri daripada beberpa penduduk sekitar Kuantan dan aktivitis termasuk dari NGO, Save Malaysia.

Mereka bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi.

Kumpulan yang membantah pusat penapisan yang  sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp itu datang dengan empat buah bas.

Mereka tiba di persimpangan parlimen sekitar jam 9.20 pagi dan kemudiannya mengadakan perbincangan dengan seorang pegawai polis.

Hasil perbincangan tersebut, 10 orang dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

NONE Penyokong lain pula dibenarkan berbaris di sepanjang jalan tanpa menganggu lalulintas dengan polis membuat barisan bagi membuat sekatan sekiranya mereka terus mara.

Kelihatan juga sekurang-kurangnya dua pacuan empat roda di simpang masuk ke parlimen dan tidak kurang 40 anggota polis di kawasan sekitar.

Aktivis pada hari ini juga mengibarkan poster dan kain rentang yang berbunyi: "Stop Lynas", "Hentikan Lynas".

Tidak selamat

Kira-kira jam 9.40 pagi, ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh keluar berbincang dengan seorang pegawai polis dan mendakwa kawasan tempat penyokong berkumpul adalah tidak selamat.

NONE Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat iaitu di atas pembahagi jalan masuk menuju ke parlimen.

Pihak polis membenarkan mereka menukar lokasi tetapi dengan syarat beberapa kain rentang tidak diboleh dikibarnya.

Sebaliknya mereka hanya dibenarkan membawa sepanduk dan poster.

Antaranya berbunyi " Stop Lynas", "Selamatkan Kuantan".

Penunjuk perasaan akur dengan arahan tersebut.

NONE Beberapa minit kemudian, polis mengarahkan mereka pula supaya tidak lagi mengibarkan poster. Sekali lagi, aktivis berkenaan akur dengan larangan berkenaan.

Kumpulan itu berbaris sehingga jam 10 pagi.

Semua aktivis yang membantah pembinaan loji penapisan itu kemudiannya mula bersurai dan menuju ke hadapan pintu masuk tugu negara - tempat mula-mula mereka berkumpul.

Perhimpunan aman

Sebelum bersurai, mereka melaungkan "Stop Lynas, Selamatkan Kuantan, Stop Radioactive dan Selamatkan Malaysia".

NONE Hadir sama, adalah lima anggota Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam)  yang diketuai oleh pesuruhjayanya, Mohamad Shaani dan perwakilan daripada Majlis Peguam turut hadir bagi memantau keadaan.

Perhimpunan hari ini diadakan secara aman. Tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan.

Sementara itu Fuziah ketika ditemui pemberita berkata beliau telah membangkitkan isu berkenaan sejak 2008.

NONE Menurutnya, selepas tsunami di Fukushima, Jepun, bulan lalu, rakyat kini lebih menyedari  bahaya bahan radioaktif.

"Pembuangan radioaktif itu di Kuantan, walaupun lima peratus, tetapi ia (boleh) memberi kesan seperti kanser dan kecacatan," katanya.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif di Gebeng, itu adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

Katanya, sisa-sia yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada pengilangan bahan mentah daripada loji Syarikat Lynas itu hanya mengandungi tahap bahan radioaktif yang rendah.

NONE "Berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa seperti ini ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif tetapi merupakan sisa industri yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi,” kata Ongkili.

[GALERI FOTO]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.