Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Hina Islam: Pemuda PAS hantar memo bantahan

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia berhubung penyiaran kartun yang dianggap menghina Islam.

NONE Delegasi seramai empat orang pemimpin Pemuda yang diketuai ketua pemudanya Nasrudin Hassan dilihat memasuki pejabat akhbar itu kira-kira jam 9.35 pagi.

Turut mengiringi beliau, kira-kira 10 orang termasuk exco Pemuda.

Tidak kurang 30 anggota polis juga kelihatan mengawal pejabat Utusan .

Pada sidang media selepas menghantar memorandum tersebut, Nasrudin berkata pihaknya memberi  tempoh selama tujuh hari kepada akhbar berkenaan supaya memohon maaf secara terbuka berhubung penyiaran karikatur itu, yang dianggap "mempersendakan hukum Islam".

"Jika tidak memohon maaf, dan tidak mengambil tindakan selayaknya, kita akan meneruskan siri bantahan.

NONE "Kita akan membuat himpunan lebih besar untuk menarik perhatian umum, bahawa kita tidak bersetuju dengan karikatur ini... Jangan perkecilkan (perkara ini). Ini sentimen agama," katanya.

Rabu lalu, akhbar milik Umno itu pada halaman 15 menyiarkan kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' karya Miki.

Menimbul keresahan masyarakat

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi.

utusan malaysia 15062011 cartoon hina islam Lakaran kedua itu pula memaparkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan berkenaan.

Dialognya berbunyi “Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!”

Dialog yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata selain dianggap mempersendakan hukum Islam, karikatur itu juga dilihat "memperkecilkan institusi agama seolah-olah tidak boleh menangani" isu berkenaan.

"Ia juga menimbulkan keresahan masyarakat awam (tentang) bagaimana fungsi tokoh agama (untuk menanganinya)," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya turut menuntut agar Utusan mengambil tindakan terhadap pelukis karikatur tersebut.

NONE Katanya, sesetengah ahli PAS mahu demonstrasi membantah diadakan pada hari ini, bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Kita datang buat cara baik untuk memperbaiki keadaan. Jika tidak dipedulikan, baru kita ambil tindakan lanjut," katanya.

Diterima baik

Memorandum tiga muka surat itu diterima oleh wakil Ketua Pengarang Suffian Abu Bakar dalam pertemuan mereka selama 10 minit.

Ditanya mengenai reaksi Suffian, Nasrudin berkata pihak akhbar menerima baik memorandum itu.

Nasrudin berkata wakil akhbar itu berjanji menyampaikan memorandumberkenaan kepada  pengurusan Utusan.

NONE Dalam memorandum tersebut, Nasrudin berkata perbandingan dua gambar kartun itu "telah menafsirkan mesej yang salah dan bertujuan dangkal".

"Mesej yang cuba digambarkan khususnya melalui gambar pertama adalah tidak tepat sekaligus telah mengelirukan kefahaman rakyat berhubung prosedur perbicaraan kes rogol atau zina dalam perundangan Islam," katanya.

Secara tidak langsung, katanya, ia menggambarkan wujudnya kelemahan dalam tatacara pengendalian perbicaraan rogol atau zina seperti mana yang telah digariskan dalam Islam.