Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Wahabi, terorisme: Menteri agama elak ulas

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengelak mengulas berhubung taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengaitkan beberapa tokoh ulama dengan fahaman Wahabi dan terorisme semalam.

NONE Walaupun ditanya beberapa kali oleh pemberita, beliau hanya mahu menjawab berhubung isu berhubung programnya pada hari ini sahaja yang antaranya berkaitan hal ehwal pegawai penyelarasan masjid di daerah-daerah (PPMD).

"(Perkara) yang hari ini. Saya fokus yang hari ini. Pasal, kalau tidak tak keluar pula (dalam akhbar).

"Sebab (program) semalam, tak keluar, jadi saya berasa rasa kecil hati," katanya dalam sidang media selepas majlis pertemuan dengan pegawai PPMD di kompleks Tabung Haji Kelana Jaya petang ini.

Diminta sekali lagi mengulas isu kebimbangan yang ditimbulkan dalam taklimat MKN di Putrajaya semalam, Jamil Khir tetap menjawab:

"Tak apalah, cukuplah yang itu dulu, sebab sat (sekejap) lagi, memang tak masuk".

azlan Walaupun terus diasak pemberita hingga kali ketiga, Jamil Khir dengan nada berseloroh tetap menolaknya dan berkata akan menjawab perkara itu apabila "esok, sampai masanya"

Semalam Malaysiakini melaporkan, dalam taklimat tertutup MKN di Putrajaya semalam, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 Ulama Muda Umno adalah antara yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan Terorisme.

Kuasa pendakwaan pada Jakim

Taklimat yang diserta para mufti dan wakil majlis agama Islam negeri, turut mendakwa kerajaan Arab Saudi didakwa menjadi dalang di sebalik tokoh-tokoh ini.

Sementara itu, Jamil Khir turut mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengkaji kerelevanan kedudukan jawatan PPMD yang diwujudkan sejak tahun 1991.

azlan Katanya, sejak 20 tahun lalu, seramai 89 orang menyandang jawatan berkenaan di mana 68 daripadanya mendapat elaun daripada Jakim.

"Saya sebut kepada Jakim, kaji balik adakah PPMD ini masih lagi dikira sebagai relevan. Dan kalau relevan bagaimanakah kita hendak memberi satu penambahbaikan (dan) kekuatan.

"Jadi saya nak tahu keperluan sebenarnya bagaimana, dan kita nak melihat hala tuju, misi dan visi kewujudan PPMD dapat diselaraskan dengan baik," katanya.

Beliau turut meminta Jakim meneliti sama ada jawatan itu perlu diselaraskan dengan menempatkan pegawai terbabit di peringkat parlimen, daerah atau negeri kerana pelbagai pandangan dikemukakan berhubung penempatannya.

Sementara itu, Jamil Khir menyambut baik berhubung pindaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang antaranya memberi kuasa pendakwaan kepada Jakim bagi menangani masalah berkaitan sijil halal di premis perniagaan.

Dengan pindaan itu, tambahnya, seramai 62 orang diberi kuasa itu buat masa ini.

VIDEO | 6.02 min