Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 240 wakil rakyat BN di seluruh negara hari ini 'berkubu' di Kuala Selangor dalam permukiman mereka di 891 peti undi dalam rangka merampas kembali negeri itu dari Pakatan Rakyat.

Permukiman yang disertai ADUN dan ahli kelab penyokong BN itu, akan berlangsung selama tiga hari hingga Jumaat ini, dalam usaha memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Dalam permukiman itu, kita menghantar semua ADUN di peti-peti undi yang telah dikenalpasti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Mereka menyusun jentera, berjumpa dan membantu peti undi tersebut termasuk mengadakan perjumpaan dengan pemimpin BN di peringkat bahagian, (dan) menyusun rancangan di peti undi itu," kata anggota urus setia pemukinan itu yang enggan namanya dinyatakan.

Urus setia itu juga memberitahu Malaysiakini, ADUN 'angkat' yang dikenalpasti akan bermukim di semua peti undi dan dikehendaki menghantar laporan kepada BN negeri selepas itu.

Program tersebut akan disertai seramai 150 ADUN yang melibatkan 45 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Antara mereka yang terlibat dalam program keluarga angkat ialah beberapa bekas menteri besar yang akan tinggal bersama dengan keluarga angkat.

Urusetia itu berkata permukiman tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam esok di Perkarangan Tesco di Kuala Selangor jam 8.30 malam.

NONE Sebelum itu, di sebelah petang pada hari yang sama, urusetia berkata mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ceramah untuk menaikkan semangat jentera "bagi meneruskan momentum" menghadapi pilihan raya umum.

Ceramah bekas presiden Umno itu akan berlangsung jam 3 petang di Dewan Umno Kuala Selangor.

"Kita nak pastikan BN menang dalam pilihan raya kerana sokongan (rakyat kepada BN) dah nampak semakin meningkat.

"(Malah) dalam konvensyen BN baru-baru ini, nampak PM dah bagi suntikan semangat meminta (BN negeri) bekerja lebih kuat," katanya.

Urusetia juga memberitahu, majlis penutup permukiman tersebut - yang dijadualkan pada hari Jumaat  - akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga timbalan presiden Umno dan timbalan pengerusi BN akan menyampaikan ucapan penutupan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru jam 4.30 petang.

Sementara itu, pengerusi Kelab Adun BN Malaysia Datuk Nadzri Ismail dilaporkan berkata, ini adalah kali pertama program berkampungan itu diadakan di Selangor selepas Perak pada 2006 dan Pahang 2008.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS