Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak bersedia mengulas isu "fatwa PAS bahawa mengundi parti Islam itu boleh masuk syurga" seperti dibesar-besarkan oleh pemimpin-pemimpin utama Umno. Menurut laporan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman mendakwa parti pembangkang itu mengeluarkan beberapa fatwa yang menyalahi pentadbiran enakmen hukum syarak di peringkat negeri dan persekutuan.

Dr Hamid mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed pada Sabtu lalu yang menegaskan Umno akan membuktikan bahawa fatwa PAS itu bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan menjelaskan parti utama kerajaan itu sedang mengumpulkan bukti berhubung hal tersebut. Menurut Dr Hamid lagi, fatwa PAS itu bukan hanya melibatkan Umno "tetapi juga kedaulatan Raja-raja Melayu di negeri-negeri berkenaan."

Bagaimanapun, Jakim sebagai sebuah jawatankuasa pentadbiran agama di bawah Jabatan Perdana Menteri sendiri tidak bersedia mengulas lanjut. Beberapa bahagian penting jabatan itu seperti penyelidikan, dakwah dan urusetia tidak memberikan sebarang maklumat asas yang boleh menyokong dakwaan Dr Mahathir dan Dr. Hamid.

"Saya diarahkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu ini," kata seorang pegawai kanan Jakim kepada malaysiakini hari ini. "Hanya Ketua Pengarah boleh membuat kenyataan berhubung isu ini." Bagaimanapun, malaysiakini gagal bercakap dengan Ketua Pengarah jabatan itu Brig. Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin walapun setelah dicuba beberapa kali dengan alasan "beliau sedang menghadiri mesyuarat."

Menurut pegawai Jakim itu lagi, pusat pemulihan akidah di Jelebu, Negeri Sembilan, setakat ini hanya mengendalikan kes-kes ajaran sesat tetapi tidak pernah menerima kes penyelewengan akidah dalam isu-isu politik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri Terengganu, Harun Taib, mencabar dakwaan pemimpin-pemimpin utama Umno itu. "Sila kemukakan bukti di mana fatwa itu digazetkan atau sebarang akhbar yang pernah menyiarkan fatwa tersebut," kata Harun kepada malaysiakini apabila diminta menjelaskan pendirian parti itu dalam isu ini.

Menurut Harun, sejak 1985 lagi Umno sering menuduh PAS mengeluarkan fatwa sendiri yang disifatkan bercanggah dengan Islam tetapi parti Melayu itu tidak pernah berjaya membuktikannya. "Setiap kali isu tersebut ditimbulkan, Umno bersetuju untuk mengadakan satu satu sesi debat tetapi tidak pernah berjaya," katanya.

Harun yang juga Setiausaha Dewan Ulama PAS menafikan parti Islam itu mengeluarkan beberapa fatwa yang bercanggah dengan Islam seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar hari ini. Menurutnya lagi, pemimpin-pemimpin PAS hanya menerangkan satu prinsip dalam Islam bahawa "sesiapa sahaja yang berjuang menegakkan hukum-hukum Islam - sama ada dengan harta, jiwa raga, tenaga dan fikirannya - dan kemudiannya mati dalam keadaan tidak melakukan apa-apa dosa besar, maka masuklah orang itu ke dalam syurga."

"Kenyataan ini bukannya fatwa yang dikeluarkan oleh PAS tetapi prinsip tersebut terkandung dalam Al-Quran," katanya.