Ahli Maunah tidak digalak baca buku jihad
versi terkini Pengikut pergerakan silat Al-Ma'unah tidak digalakkan membaca buku-buku tentang jihad di pejabat pertubuhan itu di Klang, Selangor, kata seorang tertuduh.
Jamaluddin Darus memberikan keterangan itu apabila ditanya tajuk beberapa buah buku tentang jihad yang dikatakan terdapat di markas utama Al-Ma'unah.
"Saya katakan pada kamu bahawa buku-buku dan risalah-risalah ini termasuklah buku Proses Revolusi Islam yang dikarang oleh (pemimpin Islam Pakistan) S A Maududi, (Ayatollah) Khomeini Revolusi Iran dan Akidah Syiah oleh Mohd Manzoor Mohseni dan juga buku Talang Sari Warisan Memali yang diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda," soal Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Gani Patail.
Jamaludin berkata beliau tidak mengetahui tajuk-tajuk buku tersebut walau menjelaskan di markas itu terdapat buku dan risalah.
"Adakah ahli-ahli Al-Maunah digalakkan membaca buku-buku itu," Gani tanya lagi. "Tidak ada," jawab Jamaluddin.
Sebelum itu, beliau menafikan pita-pita video, alat pemain video dan set televisyen di pejabat itu digunakan untuk menayangkan filem tentang jihad.
Bekas anggota tentera berpangkat mejar itu turut menafikan ahli-ahli Al-Ma'unah - Khairul Anuar Mohd Ariffin, Shahidi Ali dan seorang bernama Roslan - telah "memusnahkan kuil di Batu Caves, kilang-kilang minuman keras Carlsberg di Shah Alam dan Guiness Stout di Petaling Jaya dengan menggunakan senjata yang diperolehi dari Pos 2, Kuala Rui dan Kem 304, Grik Perak pada 2 Julai tahun lalu."
Dalam keadaan bingung
Di satu ketika, Jamaluddin seolah-olah keliru apabila ditanya sama ada kumpulan Al-Ma'unah menyebabkan kematian Mathew a/k Medan.
"Jamaluddin, kamu katakan tidak setuju kumpulan Al-Ma'unah menyebabkan kematian (itu)," tanya peguam belanya Zabidi Mohamad.
Jamaludin menjawab: "Sebabnya... kerana beliau (Mathew) adalah seorang anggota keselamatan, jadi apabila satu kematian khasnya anggota keselamatan dan juga orang-orang awamm, saya tidak boleh menerima hakikat ini."
Beliau juga menjelaskan tidak nampak kejadian Mathew ditembak di kem kumpulan itu di Bukit Jenalek, Perak.
"Kamu ada memberitahu mahkamah bahawa kamu dalam keadaan bingung (di Bukit Jenalek) dan tidak berupaya membantu," soal Zabidi, merujuk keterangan tertuduh sebelum ini.
Jamaludin menjelaskan beliau bukan tidak mampu menolong tetapi hanya mengetahui kejadian itu setelah anggota keselamatan dari Sarawak itu mati.
Beliau didakwa bersama 18 ahli Al-Ma'unah mengikut seksyen 121 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan perbicaraan kepada Isnin depan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.