Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, akan mengumumkan isu perletakan jawatan dan persaraannya dari arena politik selewat-lewatnya hujung minggu ini. Bekas Ketua Pembangkang itu menerima tekanan dari dalam dan luar DAP agar berbuat demikian dan "menerima tanggungjawab" atas pencapaian buruk parti itu dalam pilihanraya umum November lalu.

Kit Siang melepaskan jawatan Setiausaha Agung yang dipegangnya selama 30 tahun selepas pilihanraya itu tetapi dilantik ke jawatan baru yang disandangnya sekarang bagi menggantikan Dr. Chen Man Hin. Bagaimanapun, tekanan yang berterusan memaksanya mengambil keputusan untuk mengumumkan masa depan politiknya selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

"Saya tidak akan memegang apa-apa jawatan jika jawatankuasa pusat parti atau ahli-ahli berfikir bahawa saya patut melepaskan semua jawatan dalam parti," kata Kit Siang dalam satu kenyataannya ketika merasmikan sebuah cawangan parti itu di Pulau Pinang hari ini.

"Saya tidak akan melengah-lengahkan walau satu hari jika tempoh penglibatan saya dalam politik untuk menegakkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran yang baik serta ke arah Malaysia yang baru dianggap sudah berakhir."

Kit Siang melahirkan perasaan kurang senangnya terhadap desakan-desakan dari luar parti yang mahu beliau bersara dari politik. "Saya berfikir panjang tentang desakan dari luar parti yang mahukan saya meletakkan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP dan bersara dari politik," katanya.

Menurutnya, desakan dari luar parti itu datangnya dari dua golongan - mereka yang mempunyai agenda peribadi dan juga mereka yang ikhlas. Bagaimanapun, katanya lagi, beliau akan mempertimbangkan semua pandangan pihak luar itu dan akan membuat keputusan sama ada akan terus kekal atau tidak bersama parti itu menjelang hujung minggu ini.

Dalam kenyataan yang sama, Kit Siang mengumumkan bahawa parti-parti Barisan Alternatif sudah mengambil keputusan akan membentangkan satu lagi "belanjawan alternatif" seminggu sebelum Menteri Kewangan Tun Dain Zainuddin membentangkan Belanjawan 2000 bagi kali kedua pada 25 Februari ini.

BA pernah membentangkan belanjawannya dua hari sebelum kerajaan membentangkan belanjawannya tahun lepas. Bagaimanapun, belanjawan itu tidak diluluskan apabila Parlimen dibubarkan ketika ia sedang dibahaskan.

Kit Siang mendesak Daim agar mengambil kira perkembangan ekonomi terbaru dalam tempoh empat bulan terakhir - demonstrasi ganas di persidangan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) di Seattle, Amerika Syarikat, Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan juga Persidangan Mengenai Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) di Bangkok - selepas pembentangan belanjawan kerajaan bagi kali pertama pada Oktober tahun lalu.

"Adalah dungu dan tidak bertanggungjawab jika Daim masih membentangkan Belanjawan 2000 yang sama pada 25 Februari depan, sepatah demi sepatah perkataan, cadangan demi cadangan, seperti yang beliau pernah bentangkan pada 29 Oktober 1999," katanya.

Sidang Parlimen akan datang bermula 14 Februari dan berakhir pada 13 April.