Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Iskandar Samad menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menguruskan pembelian rumah kos rendah di negeri itu.
Malah, setiap pembeli yang mahu mendapatkan rumah berkenaan perlu berurusan terus dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LHPS).
"Pihak kerajaan negeri tidak pernah melantik ejen untuk menguruskan pembelian rumah kos rendah. Ianya langsung dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor.
"Dan tidak ada bayaran deposit untuk mendapatkan borang atau untuk mendaftar (bagi mendapatkan) rumah," katanya dalam satu sidang media selepas sidang DUN Selangor.
Sehubungan itu, tegasnya, pihak yang mendakwa mewakili kerajaan negeri untuk mengutip wang bagi membeli rumah kos rendah, adalah "pihak yang tidak bertanggungjawab dan palsu".
Menurutnya lagi, susulan itu lembaga tersebut telah membuat empat laporan polis terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut.
Laporan polis itu bertarikh 14 Oktober 2010, 9 Mei 2011, 20 September 2011 dan 5 oktober 2011.
"Bagi kerajaan negeri, kita menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan," katanya.
Pembeli serah memo pada MB
Iskandar mengulas memorandum Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Kos Rendah di empat buah taman di negeri itu yang mendakwa telah ditipu oleh individu yang menurut mereka mendakwa bertugas sebagai pegawai khas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, untuk memiliki rumah itu.
Seramai 686 pembeli rumah kos rendah di empat taman - Taman Botanik, Klang; Taman Selayang Mulia, Taman Harmoni, Balakong; dan Taman Intan Cheras - mendakwa telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM2,100 kepada individu tersebut.
Mengulas lanjut, Iskandar yang juga ADUN Cempaka berkata isu individu menggunakan nama kerajaan negeri untuk menguruskan dan menjual borang pembelian rumah kos rendah adalah "isu yang berpanjangan".
Ditanya langkah kerajaan negeri untuk membantu pembeli yang didakwa ditipu oleh individu berkenaan, Iskandar berkata beliau berharap dapat bertemu dengan mangsa selepas sidang DUN Selangor berakhir.
"Kita akan mencari jalan penyelesaian," katanya sambil menambah antara alternatifnya adalah mendahulukan mereka yang didakwa ditipu untuk mendapat rumah berkenaan.
Ditanya sama ada individu yang didakwa pembeli itu bertugas di pejabat Menteri Besar Selangor, Iskandar menegaskan: "Tidak ada".
Sebelum itu, pengerusi jawatankuasa tersebut, Mohamed Durrany Izam menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil dari pejabat menteri besar, Amin Ahmad di pintu masuk di bangunan SUK di Shah Alam petang ini.
Mohamed Durrany mewakili pembeli rumah kos rendah di empat taman terbabit bernilai RM42,000 dan dikatakan program kerajaan negeri.
Terima surat tawaran
Pembeli terbabit terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Ibu Tunggal.
Dalam memorandum itu, mereka berkata telah menerima surat tawaran pembelian rumah tersebut daripada LPHS. Dalam surat tawaran itu dinyatakan nombor pintu rumah, tingkat, blok dan kawasan yang ditawarkan.
"Bahasawanya kami telah menerima surat serahan kunci rumah dari LHPS, tetapi malangnya tarikh kunci telah ditangguhkan beberapa kali sehingga ke hari ini. Kini telah ditangguhkan lebih 15 bulan," memorandum itu dipetik.
"Sebagai langkah terakhir jikalau LPHS gagal untuk menunaikan rumah yang ditawarkan, kerajaan negeri wajib bertanggungjawab dengan memulangkan wang deposit yang telah kami bayar," kata memorandum itu.
Dalam perkembangan berkaitan kira-kira 25 orang termasuk pembeli rumah berkenaan berkumpul di pintu masuk Bangunan SUK semasa penyerahan memorandum tersebut.
Hasnah Ibrahim, 48, berasa sedih berasa dirinya ditipu dan merayu kepada kerajaan negeri untuk memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapinya dan pembeli lain.
"Saya berasa sedih. Minta kerajaan negeri timbang tengok," katanya yang juga seorang peniaga.
Ketika ditemui pemberita, Hasnah berkata ramai pembeli telah ditunjukkan rumah berkenaan oleh pegawai berkenaan, termasuk dirinya yang mendakwa membeli rumah di Taman Botanik, Klang.
Manakala seorang lagi mangsa, Hasbullah Ismail pula mendedahkan beliau mengenali individu itu dan jawatannya berdasarkan kad nama yang diberikan.
Hasbullah yang mendakwa membeli rumah di Taman Selayang Mulia turut berkata ramai pembeli rasa tertipu susulan tawaran membayar deposit tersebut tanpa faedah.
Memorandum itu juga turut diserahkan kepada wakil BN Datuk Shamsudin Lias untuk dibahaskan dalam sidang DUN yang kini sedang berlangsung.
Shamsudin berkata beliau bersimpati dengan mangsa dan berjanji akan membangkitkan perkara tersebut dalam sidang DUN berkenaan.
