Pemantau Pilihanraya Rakyat Malaysia (Pemantau) tidak menerima kenyataan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar yang menuduh badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyebarkan laporan-laporan palsu, berat sebelah dan tidak adil mengenai pilihanraya umum November lalu.

Gabungan NGO itu dalam laporannya menyebutkan hanya dua daripada 11 syarat amalan pilihanraya yang bebas dan adil diamalkan di negara ini.

Dua kriteria itu ialah pilihanraya kerap dijalankan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan semua kerusi dalam dewan perwakilan yang utama dipertandingkan.

Sementara kriteria penting lain yang dikatakan gagal dipenuhi SPR, antaranya ialah: kelambatan memproses sejumlah besar pengundi yang layak, parti pembangkang tidak diberikan peluang yang secukupnya menyampaikan pandangan, undi tidak diyakini rahsia dan cara mengira undi yang meragukan, media massa cetak dan elektronik memihak kepada parti pemerintah, dan kebebasan mahkamah dalam menangani petisyen pilihanraya diragukan.

"Walaupun di peringkat awal analisis kami, adalah jelas bahawa pilihanraya umum 1999 tidak bebas dan adil," laporan itu dipetik.

Pemantau juga membuat dakwaan-dakwaan serius terhadap SPR. Dalam laporan awal gabungan 20 NGO itu, SPR disifatkan "tidak bebas menjalankan tugasnya dalam seluruh proses pilihanraya." Pemantau mendakwa orang ramai, antara lain, mempertikaikan kesahihan daftar pemilih dan kerahsian undi pos.

Bagaimanapun, menurut laporan akhbar The Star semalam, SPR menuduh laporan-laporan NGO tidak pernah menyebut aspek-aspek positif tentang pilihanraya. Selain itu, badan itu juga mendakwa perbuatan NGO boleh merosakkan imej negara ini di peringkat antarabangsa. Sementara agensi berita Bernama memetik Wan Ahmad sebagai berkata prosiding pilihanraya lalu "berjaya dan berjalan lancar" kerana hanya 11 petisyen bantahan difailkan di mahkamah dalam tempoh 21 hari selepas digazetkan pada 20 Januari lalu.

Sebuah badan gabungan dalam Pemantau, Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) berkata SPR perlu menjelaskan apakah 'laporan salah' yang dimaksudkan dan membidas sikap badan itu yang belum memberi sebarang maklum balas berhubung memorandum yang diserahkan oleh Pemantau.

"Pemantau membuat penyelidikan tertentu berkaitan seluruh proses pilihanraya, apakah penyelidikan kami ini tidak tepat ataupun salah sama sekali? SPR kena jelaskan hal ini," kata seorang pemimpin kanan JIM, Zahir Hassan kepada malaysiakini , mengulas kenyataan Wan Ahmad.

Menurutnya lagi, memo yang dikemukakan sebelum pembubaran Parlimen itu menyarankan SPR agar mengkaji semula senarai daftar pemilih - menerima banyak kritikan dan turut dipertikaikan oleh Pemantau - yang telah diguna pakai sejak 1971.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock, berkata beliau "berasa terkejut melihat sikap tidak profesional" yang ditunjukkan oleh pegawai tinggi SPR itu. "Dengan menolak mentah-mentah [laporan dari NGO itu] seperti kenyataan Datuk Wan Ahmad, SPR sudah pasti tidak berupaya meyakinkan orang ramai bahawa semua laporan itu adalah salah," katanya kepada malaysiakini .

Kerk mencadangkan SPR agar mengeluarkan satu laporan lengkap bagi menafikan dakwaan-dakwaan serius terhadap amalan pilihanraya di negara ini jika badan itu mendapati fakta-fakta dalam laporan NGO itu salah.