Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah bertitah supaya hakim Mahkamah Syariah bersungguh-sungguh membuat penghakiman dan tidak melengahkan sesuatu prosiding tanpa alasan yang munasabah.

Baginda juga mahu mereka menyelesaikan kes-kes penghakiman dalam tempoh masa yang sesuai serta mematuhi arahan ketua hakim syarie.

NONE Baginda bertitah masih lagi mendapat aduan orang ramai tentang kes Mahkamah Syariah, terutama permohonan cerai dan fasakh serta pembahagian harta yang mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, hanya disebabkan perkara-perkara remeh yang sepatutnya boleh dielakkan.

"Justeru itu dengan adanya bangunan baru serta kemudahan-kemudahan yang diberikan, beta menyeru kepada pihak JAKESS (Jabatan Kehakiman Syariah Selangor) supaya dapat mengatasi masalah ini agar kes-kes atau perbicaraan dapat dijalankan mengikut jadual dan diharapkan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang sepatutnya," titah baginda.

Baginda berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian dan pengisytiharan bangunan baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor di Shah Alam pagi ini.

Beliau juga berkenan menamakan bangunan ini sebagai Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah.

Dalam titahnya, baginda juga tidak mahu mendengar lagi aduan-aduan negatif terhadap Institusi Kehakiman Syariah yang secara tidak langsung menjejaskan imej agama Islam di negeri itu.

Libat kes tuntutan jutaan ringgit

"Keutamaan hendaklah diberikan kepada kes-kes Mal yang melibatkan rumahtangga agar tidak ada siapa yang teraniaya akibat kelalaian atau kecuaian pihak tertentu.

"Di sini para hakim dan seluruh warga jabatan haruslah bijak memainkan peranan dalam memastikan perjalanan kes dilaksanakan dengan lancar dan berkesan," titah baginda.

NONE Sejajar dengan perkembangan semasa, baginda yakin dan percaya, pasti wujudnya cabaran yang besar kepada hakim syar'ie dalam mengendalikan kes-kes yang di bawa ke hadapan mereka.

"Beta dimaklumkan bahawa kes-kes di Mahkamah Syariah kini bukan lagi hanya tertumpu kepada kes perceraian sahaja, bahkan kini ianya melibatkan kes tuntutan harta yang bernilai jutaan ringgit, juga kes-kes yang mencabar sensitiviti masyarakat seperti permohonan pengisytiharan bukan seorang Islam," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru pegawai mahkamah, khususnya hakim syar'ie, agar bersedia berhadapan dengan situasi tersebut dengan melengkapkan diri dengan pelbagai displin ilmu agar "peningkatan keyakinan rakyat terhadap mahkamah syariah tidak luntur".

"Kecekapan dan ketegasan dalam pengendalian kes akan dapat menegakkan keadilan," tegas baginda sambil menyeru semua hakim syar'ie supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur, telus dan berdedikasi.

Baginda juga menyedari bahawa tugas hakim adalah "sukar dan ianya memerlukan pemerhatian, penelitian dan penilaian tepat dalam membuat keputusan terhadap sesuatu kes".

Nama baik

Sehubungan itu, baginda menitahkan supaya para hakim dapat menyempurnakan tuntutan syarak dengan sabar dan penuh ikhlas.

"Patuhilah segala etika sebagai seorang hakim yang berwibawa, tegas, dan berkeyakinan dalam mengendalikan setiap kes," kata baginda.

NONE Baginda juga berkata, seseorang hakim itu akan melanggar etika apabila "membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas kehakiman hingga menjejaskan kedudukannya sebagai seorang hakim".

"Janganlah menggunakan kedudukan kehakiman ini bagi faedah diri sendiri.

"Apabila seseorang hakim mahkamah syariah itu mendengar sesuatu kes, ia hendaklah melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syara' dan memberikan penghakiman berdasarkan undang-undang berkaitan dan tidak mengikut emosi," titah baginda.

Baginda juga mengingatkan para hakim agar menjaga nama baik dan kedudukan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS