Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, menyarankan ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti-parti Barisan Alternatif agar mengambil sikap tegas terhadap keengganan Barisan Nasional melantik wakil pembangkang untuk mengisi jawatan tertinggi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC). Kit Siang yang berpengalaman sebagai Ketua Pembangkang selama 25 tahun di Dewan Rakyat mencadangkan jawatankuasa tersebut bertindak sebagai badan pengawas tertinggi di peringkat parlimen dan menyediakan laporan tahunan kepada seluruh rakyat.

"Selama ini tiada siapa peduli hasil laporan PAC kerana apabila tidak ada wakil dari pihak pembangkang dalam jawatankuasa itu, PAC tidak dapat memainkan peranan dengan sebenar dan sepenuhnya sebagai badan pengawas tertinggi perjalanan kerajaan," kata Kit Siang dalam satu kenyataannya kepada malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, apabila Dewan Rakyat bersidang pada Selasa depan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim dijangkakan akan mencadangkan satu usul melantik semula Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Jarjis sebagai pengerusi PAC dan Ahmad Husni Handzalah sebagai timbalannya. Kedua-duanya wakil rakyat Umno.

Menurut Kit Siang, sudah menjadi amalan di negara-negara Komanwel, pengerusi jawatankuasa ini diberikan kepada wakil pembangkang. "Itulah sebabnya dalam tempoh 139 tahun lalu, dewan perwakilan di United Kingdom mengekalkan amalan melantik wakil pembangkang untuk mengetuai PAC sejak jawatankuasa itu dibentuk pada 1861," katanya.

Bagaimanapun, di negara ini kerajaan Barisan Nasional mengekalkan tradisi melantik wakil mereka sendiri ke jawatankuasa itu sejak pilihanraya pertama lagi pada 1959.

"Keengganan kerajaan BN melantik pembangkang sebagai pengerusi PAC itu menunjukkan BN tidak bersedia mengiktiraf jumlah undi yang diperolehi oleh pembangkang dalam pilihanraya umum lalu," tambah Kit Siang.

"Wakil-wakil rakyat Barisan Alternatif wajar membantah sekeras-kerasnya keengganan BN ini."

Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, sikap kerajaan BN itu tidak mendorong ke arah reformasi Parlimen dan menyembuhkan luka-luka politik selepas "pilihanraya terkotor dalam sejarah negara" pada November lalu.