Sidang ekonomi BA batal, alasan keselamatan
versi terkini Konvesyen ekonomi anjuran Pemuda Barisan Alternatif yang dijadualkan Sabtu ini gagal diadakan selepas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) membatalkan permohonan menggunakan dewan petang tadi.
Naib Ketua Pemuda, Parti Keadilan Nasional Low Chee Chong memberitahu malaysiakini , Angkasa menghubungi pihaknya dan memaklumkan sewaan dewan auditorium itu di Kelana Jaya, Selangor dibatalkan atas alasan "keselamatan".
(Pembatalan dewan secara mendadak itu dipercayai ada kaitan dengan tangkapan tujuh pemimpin parti itu dan aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak dua hari lalu. Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai mendakwa perhimpunan pembangkang itu boleh menimbulkan suasana tidak tenteram.)
Keadilan merancang mengadakan tiga acara sempena memperingati ulang tahun kedua hukuman penjara terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Acara pertama adalah ceramah umum di Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, Gombak esok malam dan diikuti majlis perhimpunan bagi menyokong penyerahan memorandum hak asasi kepada Suruhanraya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada pagi Sabtu ini.
Sambutan yang dikenali 'Black 14' pada hari itu diakhiri dengan perbincangan bertajuk 'Ekonomi dan Masa Depan Malaysia' yang asalnya dijadualkan dibentang oleh pensyarah ekonomi terkenal Profesor Jomo KS, dari Universiti Malaya.
Azizah pimpin rombongan ke Suhakam
Bagaimanapun, acara penyerahan memorandum di pejabat Suhakam di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut akan tetap diteruskan.
Enam anggota Dewan Rakyat pembangkang akan memimpin rombongan wakil-wakil parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Presiden Keadilan sendiri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga wakil rakyat kawasan Permatang Pauh, kata timbalannya Dr Chandra Muzaffar petang ini.
Sementara itu di DEWAN RAKYAT hari ini, anggota-anggota pembangkang memakai gegelang kain putih di lengan kiri masing-masing sebagai membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA sejak dua hari lalu.
"Gegelang ini hanya dipakai buat sementara sahaja. Kami akan membuat lencana sebagai meneruskan bantahan terhadap ISA," kata Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor di luar dewan tadi.
Lencana ini mungkin akan disiapkan minggu depan, tambah Fadzil, yang juga Presiden PAS.
Beliau juga memberitahu kepada wartawan bahawa lencana itu bukan sahaja dipakai oleh ahli-ahli parlimen pembangkang tetapi juga orang ramai.
Barisan Alternatif mempunyai 42 anggota dewan, tidak termasuk tiga orang daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.