Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, hanya masa akan menentukan sama ada exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali adalah hero sebenar Melayu-Islam ataupun tidak.
Ibrahim berkata, buat masa ini masih tidak pasti sama ada kemelut dalaman PAS hanya umpama pergaduhan suami-isteri atau Dr Hasan benar-benar memperjuangkan Melayu, Islam dan Raja-raja.
"Dan esok-esok benda itu selesai. Dia boleh bertanding balik dalam PAS. Mungkin dia seronok.
"Mungkin pada masa itu, orang akan tahu colour (warna) dia. Saya berterus terang. Pada masa itu, orang tahu colour dia," katanya.
Bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Ibrahim berkata, agenda perjuangan Dr Hasan tidak mungkin dicapai ekoran pendirian berbeza DAP dalam Pakatan Rakyat.
"Jadi apa yang dia nak buat. Mungkin (dia berkata) saya dah selesa... sudah terima negara berkebajikan. Jadi saya tidak mahu ding dong ding dong.
"Saya straight forward . Jadi masa akan memberitahu perkara sebenar sama ada Dr Hasan Ali adalah hero untuk Malay-Muslim atau Raja-raja melayu atau tinggal Ibrahim Ali seorang sahaja.
"Saya tidak tahu, terpulanglah kepada rakan-rakan dalam PERKASA," katanya.
'Tidur sekatil'
Ibrahim menjawab soalan berhubung kenyataan Dr Hasan ( kanan ) yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS yang dilaporkan menolak pelawaan menyertai PERKASA.
Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas menegaskan tawaran tersebut adalah ikhlas dan sentiasa terbuka.
"Cuma dia sekarang ini nak berjuang dengan PAS lagilah. Ini poliitk, awak tahulah. Saya tidak tahulah, takut dia bergaduh macam suami isteri.
"Bergaduh, bergaduh lepas tu balik, tidur sekatil. Kita tak tahu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PERKASA.