UTM tidak berniat halang ekspo budaya
|
|
|
|
Presiden MPM, Suhaimi Mohammed Said, menunjukkan memorandum bantahan sebelum menyerahkannya kepada UTM
Universiti Teknologi Malaysia menafikan pihaknya menghalang kegiatan kebudayaan pelajar seperti didakwa oleh sekumpulan pelajar dan Majlis Perwakilan Mahasiswa universiti tersebut. Bahagian Hal Ehwal Pelajar UTM menegaskan pihaknya terpaksa menangguhkan program itu bagi memberikan masa yang secukupnya kepada mereka menghadapi peperiksaan.
"Kami tidak menghalang pelajar menganjurkan sebarang aktiviti kebudayaan tetapi ekspo tersebut diadakan serentak dengan program Rakan Budaya anjuran Kementerian Belia dan Sukan," jelas Timbalan Pendaftar HEP Bahagian Aktiviti Pelajar, Mohd Tajuddin Othman kepada malaysiakini hari ini.
Mohd Tajuddin berkata program tersebut terpaksa ditangguhkan bagi memberikan masa kepada pelajar menghadapi peperiksaan yang sedang berjalan sekarang. Beliau juga berkata HEP ingin menggalakkan pelajar menganjurkan sesuatu majlis yang melibatkan integrasi kaum dan tidak untuk sesuatu kaum sahaja.
Semalam, lebih 100 pelajar menyerahkan satu memorandum membantah sikap pihak pentadbiran menangani ekspo kebudayaan itu. Memorandum yang diserahkan kepada Naib Canselor UTM, Datuk Ahmad Zaharuddin, itu meminta UTM mengurangkan karenah birokrasi dan menuntut kebebasan pelajar menjalankan aktiviti.
Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM ketika dihubungi malaysiakini hari ini mendakwa HEP mendiskriminasikan ekspo kebudayaan Tionghua apabila bertindak menangguhkan aktiviti tersebut kepada semester akan datang pada Julai depan. Setiausaha Agung MPM, Zulkifli Abdul Manan, berharap pihak pentadbir tidak lagi mendiskriminasi pelajar kaum-kaum tertentu. Badan perwakilan pelajar itu juga menyifatkan tindakan HEP itu sebagai menyekat suara dan hak pelajar.
Ekspo kebudayaan Tionghua yang diadakan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina merupakan aktiviti tahunan bagi pelajar UTM. Persiapan sambutan ini bermula sejak empat bulan yang lalu. Jawatankuasa penganjur berjaya menyewa Dewan Sultan Iskandar sebagai lokasi ekspo dan HEP telah memberikan persetujuan. Bagaimanapun, dewan yang sudah disewa itu ditarik balik.
Universiti sebaliknya meminta penganjur menjalankan ekspo ini bersama dengan satu lagi ekspo kebudayaan di Kolej 5. Bagaimanapun, UTM sekali lagi membatalkan program tersebut pada 14 Februari lalu dengan alasan satu ekspo kebudayaan kebangsaan akan diadakan pada semester depan. Ekspo kebudayaan Tionghua akan menjadi sebahagian aktiviti program kebudayaan kebangsaan yang dicadangkan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.