19 kumpulan sokong memorandum kepada Suhakam
versi terkini Sembilan belas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan rakyat menyokong memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang diserahkan oleh Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail esok.
Selain Azizah, pemimpin pembangkang yang bakal menyertainya termasuklah Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung parti itu Dr Sanusi Osman, anggota-anggota Dewan Rakyat Barisan Alternatif Datuk Kamarudin Jaafar, Dr Syed Azman Syed Ahmad (kedua-duanya PAS), Teresa Kok, Lim Hock Seng (kedua-duanya DAP) dan Abdul Rahman Yusof (Keadilan).
Kumpulan-kumpulan itu setakat 9 April lalu telah menyatakan sokongan terhadap 10 perkara dalam memorandum itu yang menyentuh isu-isu kebebasan berkumpul, institusi kehakiman, kebebasan media, menghapuskan akta-akta zalim, membanteras budaya kronisme, nepotisme serta rasuah.
Antara pertubuhan itu termasuklah Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Bahagian Belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Tenaganita, Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).
Selain bahasa Melayu, 'memorandum rakyat 14 April' itu turut diterjemahkan kepada bahasa-bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.
Kedaulatan rakyat
Wakil-wakil kumpulan rakyat itu juga akan bersama-sama menghantar memorandum masing-masing ke pejabat Suhakam yang terletak di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut jam 10 pagi esok.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pemuda Keadilan menjelaskan majlis penyerahan itu "digerakkan oleh rakyat sendiri" setelah beberapa anggota jawatankuasa penganjur acara itu ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak tiga hari lalu.
Pengerusi jawatankuasa itu Saari Sungib ditahan bersama enam pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi.
Mereka yang turut ditangkap adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis pergerakan itu Abdul Ghani Haroon, penulis tamu malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.
Penolong Setiausaha Pemuda Keadilan Diong Chi Tzuoh menyeru orang ramai agar hadir menyatakan sokongan.
"Rakyat (berhak) mempertahankan maruah negara supaya demokrasi dapat ditegakkan dan kedaulatan rakyat tidak diancam," tegas Diong lagi.
Peguam pemerhati PBG
Pergerakan Pemuda parti itu dalam mesyuaratnya tengahari tadi juga memutuskan untuk melancarkan kempen riben putih, selain mengutip derma untuk "tabung bencana" ISA, sebagai membantah tangkapan tersebut.
Parti itu juga akan bergerak ke negeri-negeri untuk melancarkan kempen anti-ISA.
Sementara itu Pusat Bantuan Guaman (PBG) Majlis Peguam Kuala Lumpur mengumumkan badan itu akan menghantar kira-kira 20 peguam sebagai pemerhati acara perhimpunan tersebut.
Dalam satu kenyataan kepada malaysiakini petang tadi, Majlis Peguam berkata sukarelawan itu akan memakai gegelang kain putih di lengan, dengan perkataan hitam 'P.B.G.' sebagai menandakan wakil rasmi organisasi tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, isteri-isteri dua tahanan ISA, Mohamad Ezam dan Raja Petra, berkata pihaknya telah mengarahkan peguam masing-masing mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Norain Mai berhubung kenyataannya dua hari lalu.
"Tan Sri Norain menuduh suami-suami kami 'melaksanakan langkah-langkah tertentu untuk mendapatkan bahan letupan termasuk bom dan pelancar bom (grenade launcher)," kata Bahirah Tajul Aris dan Marina Abdullah.
Mereka berdua juga mengecam tuduhan Norian itu dan menafikan suami mereka sebagai "pengganas".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.