Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Tiga negeri Pakatan tak akan serah tanah pada FGV

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata tiga negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat - Kedah, Selangor dan Kelantan- tidak akan menandatangani perjanjian untuk menyerahkan tanah kepada Felda Global Venture (FGV).

"Ketiga-tiga negeri Pakatan, tidak akan menandatangani perjanjian ini, untuk menyerahkan tanah Felda kepada Felda Global Venture," kata Mazlan dalam sidang media.

Timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Dr Rosli Yaacop yang turut hadir menjelaskan perjanjian tanah untuk mendapat hak milik perlu mendapat kelulusan menteri besar.

"Jadi Felda Global Venture kena jumpa MB kerana ia berada di bawah kuasa MB," katanya.

Menurut Mazlan lagi, pendirian tidak akan menyerahkan tanah Felda kepada FGV telah diputuskan oleh Jawatankuasa PAS pusat bulan lalu bagi negeri yang diperintah parti itu - Kedah dan Kelantan.

Manakala bagi Selangor, katanya, beliau telah memanjang perkara itu kepad Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui wakil PAS di negeri itu.

Ketika dihubungi kemudiannya, Mazlan berkata, perkara itu juga telah disampaikan kepada pengerui Biro Felda PKR, Suhaimi Said, yang memanjang perkara itu kepada menteri besar.

Mazlan berkata, beliau telah dimaklum bahawa menteri besar Selangor memang mengambil pendirian yang sama.

Mazlan juga berkata, pihaknya akan mengadakan siri jelajah Gerakan Selamatkan Felda di ketiga-tiga negeri tersebut dan bertemu dengan menteri besar masing-masing bagi menyatakan pendirian dan sokongan terhadap kerajaan negeri.

Malah, kata Mazlan, di negeri-negeri yang ditadbir BN, setahunya, belum ada yang menandatanganinya walaupun difahamkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob "memberi respon positif" berhubung perkara itu.

"Kita akan desak supaya beliau jangan tandatangani (perjanjian itu)," katanya.