Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini sekali lagi menegaskan bahawa masyarakat India memerlukan "nambikei" atau kepercayaan terhadap kerajaan supaya banyak perkara boleh dilakukan.

najib thaipusam batu caves 070212 Bercakap di harapan ribuan penganut Hindu yang merayakan Thaipusam di Batu Caves, beliau berkata negara ini memerlukan kerjasama antara masyarakat dan NGO India dengan kerajaan.

"Kamu tolong saya, dan saya tolong kamu. Nambikei. Kamu percaya saya dan saya percaya kamu," kata perdana menteri disambut sorakan daripada hadirin.

Beliau turut mengingatkan tentang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan sekolah RM100 dan baucar buku RM200 kepada pelajar yang diberikan kerajaan. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Najib memberi jaminan segala janji yang dibuat BN, sama ada bagi komuniti India mahupun bangsa lain, akan tetap dilaksanakan.

Katanya seperti mana pentingnya Hari Thaipusam bagi masyarakat Hindu, sebagai hari untuk berhajat dan berdoa untuk kehidupan yang lebih baik, kerajaan juga berharap dapat memberi masa depan yang lebih terjamin dan menambah kualiti kehidupan rakyat.

najib thaipusam batu caves 070212 Beliau berkata komitmen kerajaan untuk membantu kaum India dalam semua aspek termasuk pendidikan, ekonomi, keagamaan dan masalah kewarganegaraan telah menunjukkan kesan positif kerana bantuan yang dihulurkan jauh lebih besar daripada yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Kita tidak pernah mungkir janji... kalau kita janji untuk melakukan sesuatu, kerajaan BN akan laksanakan," beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita nasional itu.

Najib berkata selain pelbagai suntikan yang telah diberikan untuk meningkatkan taraf pendidikan kaum India, kerajaan juga akan meluluskan pembinaan enam buah lagi SJKT baru di Selangor, Perak, Kedah dan Johor, seperti yang diputuskan pada pertemuan dengan guru-guru besar SJKT baru-baru ini.

Hadir sama ialah isteri perdana menteri Rosmah Mansor, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishanmuddin Hussein.