BERITA

ANAK dakwa Najib jahanamkan legasi Tun Razak

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Feb 2012, 5:15 pagi

Walaupun Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dikenali bapa pembangunan negara, tetapi anaknya Datuk Seri Najib Razak dilihat "menjahanamkan" program Felda yang mahu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Melayu.

NONE Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata, dahulunya  Felda yang diperkenal oleh Abdul Razak – untuk memberi hak dan menyusun masyarakat Melayu sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan  meningkat ekuiti 30 peratus orang Melayu – kini dijadikan "modal perebutan dan keuntungan" peribadi pemimpin tertentu.

"Ini yang membezakan perjuangan pemimpin dahulu dengan pemimpin hari ini. Dan lebih spesifik lagi, kalau Tun Razak membina asas yang kuat untuk orang Melayu.

"Tetapi malangnya hari ini, anaknya, kalau saya menggunakan bahasa yang lebih ekstrem, anaknya (dilihat) 'menjahanamkan' apa yang dibina oleh bapa beliau," katanya Mazlan yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS.

NONE Abdul Razak adalah pemimpin yang bertanggunjawab menjaga Felda bermula 1959 hingga 1970, manakala Najib yang juga presiden Umno mengurusnya pada 2004.

Mengimbau sejarah penubuhan Felda sejak 1956, Mazlan tidak menafikan penubuhan Felda sebagai agenda meneruskan sokongan - kepada Umno dan BN - serta memberikan kehidupan selesa kepada rakyat.

'Ingatan terhadap jasa mula terhakis'

"Tetapi kekuatan yang ada pada warga Felda, ingatan mereka terhadap jasa-jasa yang diberikan, mula terhakis dan mereka mula mencongak-congak, kenapa perkara yang baik dibuat di zaman Tun Razak, hari ini cuba dihakis oleh pemimpin yang ada pada hari ini.

"Dengan satu usaha, bagi sesetengah warga Felda, sesuatu yang tidak logik, tidak berasas dan tak masuk akal terutama sekali dalam isu penyenaraian (Felda Global Venture Holding atau FGV) ini (ke bursa saham)," katanya.

Mengulas berhubung maklum balas warga Felda berhubung isu penyenaraian itu, Mazlan berkata ketika inilah waktu beliau paling sibuk bertemu dengan tokoh politik, anak-anak Felda, ahli akademik dan kumpulan profesional yang menyatakan kebimbangan mereka.

azlan "Mereka memberi sokongan dan dokongan yang kuat kepada kami untuk menjadi benteng utama bagi mempertahankan hak yang sedia ada, daripada dirosakkan oleh golongan yang berusaha setiap hari untuk memastikan penyenaraian ini.

"Jadi, dari sudut ini, Umno dilihat bukan lagi membela kepentingan orang Melayu. Dulu mereka kata zaman Tun Abdul Razak, ya. Zaman Tun Hussein ya. Tapi hari ini, mereka melihat Umno ini mahu menghancurkan, apa yang mereka telah dapat dan mereka warisi sebelum ini," kata Mazlan lagi.

Mazlan - yang sudah 20 tahun bergelut menangani isu Felda - berkata penerimaan warga Felda berubah berbanding dahulu apabila ceramah yang dihadiri berlipat kali ganda berbanding sebelum ini walaupun NGO ANAK mengadakan pelbagai promosi.

'Durian runtuh' mampu tarik sokongan

Ditanya sekiranya Najib memberikan 'durian runtuh' kepada warga Felda mampu menarik balik sokongan kumpulan itu, Mazlan tidak menafikan faktor keselesaan hidup peneroka menjadi pendorong sokongan kepada BN.

Bahkan, kata Mazlan, kemenangan BN dengan mengekalkan undi warga Felda pada pilihan raya umum  2004 dan 2008, disebabkan kestabilan harga komoditi sehingga beranggapan tiada keperluan untuk mengubah sokongan.

NONE Bagaimanapun, kata Mazlan, anjakan sokongan anak muda di Felda akan berlaku bila-bila masa, memandangkan mereka tidak mempunyai tanah, apatah lagi apabila tanah yang diuruskan Felda Plantation seluas 360,000 hektar - yang menurutnya patut dimiliki mereka - akan dipajak oleh FGV selama 99 tahun.

Hal demikian, tegas Mazlan, akan mengundang kemarahan anak-anak peneroka yang didakwanya diri mereka, yang sepatutnya mendapat hak ke atas tanah tersebut.

"Jadi fenomena ini, saya yakin ia akan menyumbang kepada sokongan kepada parti dalam Pakatan Rakyat.

"Sebab itu, saya nampak kerajaan BN, cukup bimbang dengan perkembangan ini. Jadi setiap kali kami membuat pendedahan, saya nampak yang menjawab kebimbangan (adalah) perdana menteri sendiri.

"Kalau penolakan itu berlarutan sehingga pilihan raya, saya optimis, suasana akan berbeza. Hasilnya akan berbeza dalam piliahn  raya umum akan datang," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.