PTPTN: Siswa buat apa saja untuk hapuskan bunga
Pelajar 'akan berbuat apa sahaja' untuk menghapuskan kadar empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas Kementerian Pendidikan hari ini didakwa tidak serius.
"Jika kementerian masih berlengah dan enggan memanggil mahasiswa (untuk berbincang), maka mahasiswa akan berbuat apa sahaja tindakan yang difikirkan perlu," kata Setiausaha Agung Gabungan Mahasiswa Siswa Semenanjung (Gamis) Muhammad Faisal Abdul Rahman kepada malaysiakini .
"Kami telah mengumpulkan tiga memorandum untuk mendesak kementerian mengambil tindakan lebih serius tetapi kedatangan (kami) tidak dilayan dengan baik."
Muhammad Faisal berkata demikian selepas mengetuai kira-kira 300 pelajar menyerahkan satu memorandum di kementerian itu pagi tadi.
Selain menggesa penghapusan kadar bayaran balik, memorandum lima perkara itu juga menggesa pinjaman itu ditukar pinjaman boleh ubah, tempoh mula pembayaran dipanjangkan daripada enam kepada 12 bulan dan ia diurus mengikut kaedah pinjaman Islam.
Muhammad Faisal mendakwa memorandum itu hanya diterima oleh pemandu menteri berkenaan Tan Sri Musa Mohamad.
Bagaimanapun malaysiakini difahamkan seorang kakitangan yang mengambil memorandum itu di perkarangan bangunan kementerian berkenaan, Supiyan Mohd Rasol, adalah seorang pengawal peribadi Musa.
"Mahasiswa hari ini rasa terhina dan kecewa dengan tindakan Kementerian Pendidikan, khususnya menterinya," kata Muhammad Faisal.
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) mendakwa temu janji hari ini telah ditetapkan sejak seminggu lalu dan kedatangan rombongan pemimpin pelajar itu "dialu-alukan" oleh kementerian.
"Kita berusaha untuk menemui sendiri menteri (Musa) tetapi kementerian meminta kami menunggu wakilnya datang menemui kami di bawah," kata Presiden MPPUM, Mohd Fuad Ikhwan.
Malaysiakini difahamkan Musa bermesyuarat dengan wakil Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sejak pagi.
Memo anti-Mahathir
Sebelum itu beberapa anggota polis memberikan amaran agar kumpulan pelajar itu bersurai sebaik sahaja menyerahkan memorandum tersebut. Kumpulan itu bersurai secara aman setelah menunggu hampir sejam di bangunan itu sejak jam 10.30 pagi.
Lima pemimpin pelajar turut memberikan ucapan alu-aluan selama kira-kira 20 minit membantah kadar empat peratus PTPTN dan menuntut kerajaan memberikan biasiswa. Sepanduk yang dipamerkan ketika perhimpunan bertulis "pendidikan tanggungjawab kerajaan" dan "kembalikan pinjamanan boleh ubah."
Selain Faisal, pemimpin yang berucap itu termasuklah pemimpin pelajar dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan persatuan pelajar Cina, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).
Kerajaan memperuntukkan RM675.3 juta untuk dana pinjaman PTPTN pada tahun 1999, RM1.3 bilion pada tahun lepas dan jumlah yang sama untuk tahun ini.
Seramai 203,000 pelajar institusi pengajian tinggi menerima bantuan dana tersebut sejak diperkenalkan pada 1987.
Sementara itu satu kumpulan pelajar bercadang menyerahkan satu memorandum bagi membantah Perdana Menteri Datuk Seri Mahathir Mohamad merasmikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) esok.
Dr Mahathir memulakan majlis itu di kampus baru universiti itu Gombak jam 9 pagi.
"Kumpulan mahasiswa membantah PM merasmikan UIA kerana beliau mempunyai rekod hitam (melakukan) kezaliman, akhlak yang buruk dan tidak sesuai untuk orang seperti beliau merasmikan mana-mana universiti sekalipun," kata jurucakap kumpulan pelajar itu, Ahmad Zaki Yamani Zainon kepada malaysiakini .
Bekas Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang dipecat daripada Universiti Teknologi Mara itu menambah, setakat ini tujuh perkumpulan pelajar bersetuju menyertai majlis penyerahan memorandum tersebut.
Kumpulan itu antaranya Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN) dan Majlis Tindakan Mahasiswa (MTM).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.