'Rakyat juga akan tinggalkan Twitter, Facebook'

       

Rakyat Malaysia juga akan meninggalkan laman media sosial popular seperti Twitter dan Facebook, sebagaimana yang berlaku di Eropah, apabila minat mereka terhadap laman itu mencapai kemuncaknya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

"Masalah dengan Twitter dan Facebook di Malaysia adalah tidak lama lagi, ia akan sampai ke peringkat yang sama, seperti yang berlaku di Eropah.

NONE "Orang ramai akan mula untuk meninggalkan aktiviti ini, yang sekarang cukup kerap digunakan  sehingga ke tahap sederhana, dan pengguna terutamanya terdiri daripada golongan muda," kata Rais dalam jawapan kepada soalan tambahan daripada Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Mengenai soalan sama ada kementerian bercadang memantau atau menyekat akaun Facebook yang sering dicemari penyalahgunaan, Rais berkata setiap kandungan atau komen yang dibuat pengguna laman sosial tidak melalui sebarang proses tapisan, kelulusan atau penilaian mana-mana pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata semua kandungan rangkaian adalah tertakluk kepada undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Selain pendakwaan di mahkamah, SKMM juga mengambil tindakan menyekat akses ke laman-laman web untuk meningkatkan kesedaran dari semasa ke semasa kepada orang ramai tentang isu sosial dan teknologi yang dihadapi pengguna internet," katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan Rais semasa menjawab menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkata SKMM menerima 716 aduan berhubung kandungan laman sosial seperti Facebook dan Twitter pada tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 289 merupakan aduan berkenaan kandungan jelik atau mengancam, kandungan palsu (247), kandungan lucah dan sumbang (40), penggodaman (124) manakala yang lain sebanyak 16 aduan.

azlan Selain laman rangkaian sosial, SKMM juga, katanya, menerima 1,112 aduan berkaitan laman web, blog dan emel.

Menurut Rais, SKMM juga menerima 693 aduan berkaitan phishing (percubaan mengambil data dari kumpulan data pihak lain).

"Masalah penyamaran, penipuan dan salah guna laman rangkaian sosial berpunca daripada perasaan seronok untuk meluaskan pandangan masing-masing melaluinya; tanpa mengambil kira aspek negatif yang timbul akibat perbuatan itu.

"Sebahagian anggota masyarakat lupa kita mempunyai kekangan dan cara hidup yang harus dilandaskan kepada nilai-nilai murni, agama dan amalan budaya," katanya.

Beliau berkata tidak kurang 15 kes telah diambil tindakan di mahkamah tetapi masyarakat masih perlu diberi didikan dan penerangan mengenai perkara itu.

"Penggunaan jalur televisyen, ceramah dan ikhtiar pencegahan terus dilaksanakan dan pengurangan dilihat menggalakkan. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam bentuk kekangan sosial yang diperlukan," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda