Malaysiakini BERITA

Speaker silap kirim mesej, ADUN BN keluar dewan

Nigel Aw  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ADUN BN hari ini bertindak keluar dewan gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker Datuk Teng Chang Kim yang tersalah menghantar pesanan BlackBerry kepada bekas exco Selangor Datuk Hasan Ali.

NONE Wakil rakyat BN, yang mendapat maklumat itu, tidak berpuas hati dengan pesanan Teng yang menggesa barisan exco mempromosikan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat dalam sesi penggulungan dan menganggapnya berat sebelah.

Isu itu disentuh oleh Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) dan Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) yang menuntut penjelasan daripada speaker.

Mereka menuntut speaker memohan maaf kepada DUN kerana mendakwa tindakan itu sama sekali tidak adil.

Teng bagaimanapun enggan melakukannya sebaliknya meminta Mohd Isa memfailkan usul terhadapnya jika tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Sebagai tanda bantahan, tujuh daripada sepuluh ADUN BN bertindak keluar dewan.

BN: Speaker salah guna kuasa

Sementara itu, Bernama melaporkan, Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) sebagai berkata, Teng menyalahgunakan kuasanya apabila menghantar pesanan itu.

Kuang assemblyperson Abdul Shukor Idrus walkout selangor assembly 2 "Speaker tidak boleh hantar SMS sebegini kepada ahli exco sebab hanya MB (menteri besar) sahaja boleh hantar SMS untuk meminta semua ahli Exco membahas tentang kejayaan pakatan PKR-DAP-PAS memerintah Selangor.

"Ini jelas menunjukkan speaker mengambil pendirian berat sebelah apabila hantar SMS yang memberi rangsangan kepada anggota exco supaya menjawab baik mengenai pemerintahan pakatan pembangkang," beliau dipetik berkata kepada pemberita selepas keluar dari dewan itu.

Turut keluar Mohd Shamsudin, Mohd Isa, Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baharu), Datuk Abdul Rahman Palil (BN-Sementa) dan Badrul Hisham Abdullah (BN-Pelabuhan Klang).

Mohd Shamsudin pula berkata Teng sepatutnya meminta maaf kepada semua anggota dewan kerana SMS yang dihantarnya itu bertentangan dengan amalan seorang speaker kerana ia cuba mempengaruhi pemikiran orang lain untuk membahas sesuatu isu.

SMS dalam bahasa Inggeris itu antara lain berbunyi: "Ini mungkin penggulungan terakhir bagi exco, peluang harus digunakan sepenuhnya bagi menjelaskan tentang kejayaan kita sejak empat tahun lepas."

Teng pula berkata beliau tidak mengambil sikap berat sebelah "dalam usaha mendekati dan menegur semua anggota dewan", lapor agensi berita nasional itu lagi.

Beliau berkata SMS yang dihantarnya itu hanya untuk memberi peringatan kepada semua anggota exco untuk menggunakan peluang sebaik-baiknya membahaskan tentang sesuatu isu.

[Baca berita penuh]