Mitsui wajar jelaskan sikap: Barisan Alternatif
Syarikat Jepun Mitsui & Co yang didakwa memberi rasuah RM10.64 juta (300 juta yen) kepada Telekom Malaysia diminta mengumumkan sikapnya yang jelas agar keyakinan terhadapnya tidak tercemar. Cawangan syarikat itu di Kuala Lumpur dilaporkan tidak tahu menahu tentang penyelewengan tersebut tetapi seorang jurucakapnya di Tokyo dilaporkan mengaku bahawa syarikat itu pernah membayar denda kepada biro percukaian Jepun tetapi tidak menjelaskan alasan pembayaran denda tersebut. Bagaimanapun, ibupejabat Mitsui menafikan terlibat memberikan rasuah kepada Telekom.
Pegawai Mitsui di sini yang ditemui malaysiakini di pejabatnya hari ini, tidak bersedia memberikan ulasan lanjut. "Saya tidak bersedia berbincang mengenainya," kata Pengurus Besarnya, Masahito Nagata.
Nagata juga berkata beliau tidak tahu tentang seorang pegawai kanan syarikat itu dari Jepun yang sepatutnya berjumpa Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam. Bagaimanapun, pegawai kanan itu tidak dapat hadir untuk membantu siasatan.
Hari ini, beberapa wakil rakyat pembangkang yang diketuai Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, menyerahkan satu surat kepada Nagata meminta syarikat itu menjelaskan pendiriannya dalam isu ini.
"Mitsui & Co mesti menjelaskan pendiriannya bahawa ia menentang sebarang bentuk rasuah antara-negara dan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa ia akan memberikan kerjasama penuh [dalam siasatan itu]," kata Kit Siang dalam surat tersebut yang turut dihantar ke pejabat malaysiakini hari ini.
Rombongan lapan pemimpin Barisan Alternatif, termasuk lima anggota Dewan Rakyat dari PAS dan DAP, itu gagal mengadakan sebarang perbincangan bermakna dengan Nagata. Pengurus Besar itu memberikan alasan beliau terpaksa bergegas untuk menghadiri satu mesyuarat syarikat.
Kit Siang, dalam surat itu, meminta Mitsui mengumumkan surat menyurat antara syarikat itu dengan Biro Percukaian Serantau di Tokyo. "[Pengumuman hal itu] akan membersihkan nama Mitsui jika dakwaan dalam laporan akhbar Asahi Shimbun itu tidak benar," kata pemimpin DAP itu kepada media selepas pertemuan singkat tersebut.
Nagata berjanji kepada rombongan itu bahawa beliau akan menyampaikan surat itu kepada pengerusi Mitsui. Beliau turut mengulangkan kenyataannya kepada rombongan itu bahawa cawangan Mitsui di sini tidak mengetahui dakwaan penyelewengan tersebut.
Pemimpin-pemimpin pembangkang yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Lim Hock Seng (Bagan), Goh Kheng Huat (Nibong Tebal), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Mohamad Sabu (Kuala Kedah), Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Dr Hatta Ramli.dan Setiausaha Pengerusi DAP, Foo Yueh Chuan.
Telekom didakwa menerima wang itu dari Mitsui dalam satu kontrak bernilai 10 bilion yen (RM354.7 juta) untuk membeli 800,000 unit kotak suis. Jumlah wang itu dibayar kepada sebuah syarikat perunding di negara ini yang tidak wujud.
Mitsui mendapat tempahan daripada syarikat Telekom pada penghujung 1996 dan kotak suis itu dihantar kepada Telekom antara 1996 hingga 1998. Syarikat Jepun itu membayar rasuah itu pada tahun 1997 kepada agen di negara ini mengikut kontrak jururunding sebagai ''komisyen'' yang dinyatakan sebagai ''kerugian''.
Biro percukaian Jepun percaya bayaran seumpama itu dibuat sebagai hadiah kepada orang lain dan dikategorikan sebagai ''yuran keraian'' yang boleh dikenakan cukai.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.