Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
3 memo isu tanah N9, Pengerang dihantar ke Suhakam

PAS mengetuai tiga rombongan penduduk daripada Johor dan Negeri sembilan bagi menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu tanah dan masalah perumahan terbengkalai di kawasan masing-masing.

Jawatankuasa Bertindak Pengerang Prihatin (PRIHATIN) menuntut kerajaan supaya menghentikan pembinaan sehingga laporan penilaian impak alam sekitar terperinci (DEIA) dibentangkan kepada penduduk.

"Ia perlu dipamerkan (seperti) di balai raya supaya masyarakat tahu (impaknya) tentang alam sekitar.

"DEIA tidak dibentangkan, menjadikan masyarakat ragu-ragu tentang keselamatan projek ini," kata ahli jawatankuasa bertindak PRIHATIN Taufik Tahir dalam aduan lisannya.

Taufik juga mendesak kerajaan supaya memberikan pampasan setimpal dan telus mengikut penilaian harga tanah semasa di kawasan Pengerang kepada penduduk di situ.

Seramai 578 nelayan bot kecil dari 10 kampung di perairan pantai Pengerang, Kota Tinggi, pada 5 April lalu memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi atas kerja penambakan laut berhubung projek pembinaan Terminal Petroleum Laut Dalam di kawasan perairan berkenaan.

Mereka sebelum ini membantah Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) bernilai RM60 bilion atas alasan projek itu menjejaskan pendapatan mereka sebagai nelayan dan pampasan yang dijanjikan masih belum jelas jumlahnya.

Rumah terbengkalai 12 tahun

Sementara itu, pembeli rumah di Taman Desa Kempas, Tampoi mengadukan masalah pangsapuri dan flat kos rendah mereka yang terbengkalai sejak 12 tahun lalu.

Menurut mereka, perkara itu membebankan kerana bayaran bulanan tetap harus dibayar.

"Rumah pangsapuri hanya siap 80 peratus, dan rumah kos rendah hanya siapa sekitar 40 peratus sahaja," memorandum tersebut dipetik.

Rumah-rumah tersebut dibeli dengan harga RM88,000 hingga RM100,000 seunit dan RM22,000 bagi rumah kos rendah.

Syarikat lelong kebun getah

Manakala, kumpulan peneroka Kampung Serampang Indah, Jempol pula mengemukakan aduan berhubung tanah kebun getah mereka yang didakwa dilelong kepada sebuah syarikat lain selepas syarikat asal gulung tikar.

"Tanah pajakan ada syarat-syaratnya, tidak boleh ditukar milik atau digadaikan, tapi (ia) ditukar daripada tanah peneroka kepada syarikat lain," dakwa pengerusi jawatankuasa bertindak kampung itu Abdul Rahman Ali Mohamad.

Ketiga-tiga pihak itu mendakwa telah mengemukakan aduan kepada ADUN dan ahli parlimen masing-masing, tetapi tiada tindakan yang diambil setakat ini..

Rombongan mereka hari ini diketuai ketua lajnah tanah dan pembangunan wilayah PAS Mazlan Aliman.

ADS