Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Halang cabar fatwa tak demokratik, kata bekas mufti

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau meragui komitmen Pakatan Rakyat pada demokrasi, khususnya di Kedah yang memperkenal undang-undang baru bagi menghalang fatwa negeri dicabar di mahkamah.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja "tidak demokratik", malah "mematikan intelektualisme" kerana menyamakan fatwa seperti nas dalam al-Quran dan Sunnah yang tidak boleh dipertikai.

Sedangkan, fatwa itu hanyalah panduan yang dibuat manusia dan hanya menjadi panduan kepada rakyat, katanya kepada Malaysiakini .

NONE "Ini adalah petunjuk bahawa demokrasi tidak subur dalam pemikiran sesetangah pemimpin termasuk di pihak Pakatan Rakyat.

"Fatwa itu banyak membabitkan perkara ijtihad ataupun pandangan. Banyak juga terdedah kepada faktor-faktor tertentu termasuk politik dan istana.

"Jika fatwa itu disamakan macam nas qat'i (nas yang putus) dalam Quran dan Sunnah sehingga tidak boleh dipertikaikan maka terbunuh intelektualisme rakyat," kata Dr Mohd Asri ( kanan ).

Tambahnya, kebanyakan daripada fatwa itu hanyalah buatan manusia mengikut kerangka ijtihad yang "mungkin betul, mungkin juga salah."

"Dalam dunia ini (terdapat) pelbagai fatwa yang lahir dari pelbagai negara, mazhab dan aliran.

"Jika semua mengamalkan dasar tidak demokratik seperti Kedah, matilah intelektualisme umat ini," katanya.

Beliau mengulas undang-undang baru untuk menghalang fatwa yang diputuskan mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, daripada dicabar, dirayu, disemak mahupun dipersoal dalam mahkamah sivil atau syariah.

Peruntukan dalam Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10).

Mufti: Ulama besar pun tolak jadi mazhab negara

Sementara itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya ( bawah ) menasihatkan agar sesuatu fatwa yang mahu diputuskan mestilah mengambilkira keluasan roh Islam yang "meraikan perbezaan pandangan dan mengelak bersifat pemaksaan" pandangan itu ke atas umat Islam.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106 Katanya, umat Islam tidak boleh mempertikaikan perkara yang putus dalam nas syara' tetapi perkara yang bersifat sangkaan masih dilihat sebagai satu keluasan dalam syara'.

"(Oleh itu) perlu ada keterbukaan dalam membuat sesuatu fatwa dan pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan peranan ulil amri (pemerintah) mentarjih bagi memilih apa-apa pandangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Malah, katanya, para ulama mujtahid dahulu seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik sehingga menolak cadangan supaya pandangan mereka menjadi mazhab rasmi bagi sesuatu kerajaan ketika itu.

Peguam Syarie anggap tak salah

Manakala Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) Musa Awang pula berkata tindakan kerajaan negeri Kedah itu "tidak salah" mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang tubuh negeri itu.

musa awang syarie lawyers association pgsm Ini kerana, katanya, mahkamah syariah akan menjadikan fatwa mufti itu sebagai rujukan untuk membuat apa-apa keputusan penghakiman di mahkamah syariah.

"Bila fatwa daripada mana-mana jabatan mufti negeri, ia dijadikan sebagai satu yang mengikat mahkamah... fatwa diambil sebagai rujukan untuk membuat apa-apa keputusan mahkamah syariah," kata Musa ( kanan ).

Bagaimanapun, Musa menegas fatwa yang telah diwarta dan digazetkan sahaja yang tidak boleh dicabar di mahkamah, sebaliknya fatwa yang belum diwartakan masih boleh dicabar di mahkamah syariah.

ADS