Bukan sahajaPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mengumumkan 'durian runtuh' kepada peneroka Felda pada 8 April ini, NGO yang dekat dengan Pakatan Rakyat Gabungan Selamatkan Felda (GSF) juga akan mengambil langkah sama.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata, GSF - gabungan membantah penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Malaysia - kini sedang menyiapkan 'tawaran istimewa' itu.
Bagaimanapun, katanya, habuan itu memfokuskan kepada generasi kedua dan ketiga peneroka Felda yang dirumuskan daripada konvensyen berkaitan di Shah Alam baru-baru ini.
"Daripada resolusi itu, kita ada rancangan alternatif, selain kita tolak penyenaraian. Mungkin masyarakat luar kata, kita tak ada satu cadangan balas, dan kita dilihat tahu nak bangkang sahaja, tanpa alternatif.
"Pasukan tink tank (pemikir) kita sedang menyiapkan tawaran istimewa kepada generasi kedua Felda. Peneroka felda (generasi pertama) dah ada rumah, tanah.
"Bagi peneroka generasi kedua dan ketiga, tak ada apa-apa," katanya dalam sidang media hari ini.
ANAK salah sebuah anggota gabungan GSF.
Perhimpunan 5 Apr, ANAK dakwa terima tekanan
Mazlan berkata tawaran istimewa itu berbentuk pemberian tanah, rumah dan konsep bandar baru "yang lebih baik dan suasana selesa" yang bakal menempatkan peneroka daripada kedua-dua generasi itu.
"Tanpa perlu penyenaraian, kita ada alternatif yang lebih baik termasuk penambahbaikan terhadap koperasi Felda," katanya.
Pengumuman 'tawaran istimewa' itu akan diumumkan pada 6 April ini - dua hari sebelum pengumuman Najib - di Felda Jengka 20, Pahang.
Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata ANAK dan GSF hari ini menghantar surat kepada Najib untuk bertemu bagi membincangkan mengenai penyenaraian FGV di bursa saham.
Bahkan, mereka juga akan menyerahkan resolusi konvensyen Felda yang dipersetujui kepada Najib.
"Kita berhasrat berjumpa dengan PM. Kami tak mahu berbincang dengan orang lain," kata Mazlan yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS.
Dalam sidang media itu juga, Mazlan mendakwa menerima "tekanan" daripada pihak tertentu supaya memindahkan lokasi Perhimpunan Tanah Rakyat di Plaza Angsana Johor Bahru pada 5 April ini
Bagaimanapun, beliau tegas menyatakan perhimpunan anjuran Gabungan Tanah Rakyat Johor (TANAH) itu tetap akan diadakan di situ dan menganggarkan 30,000 hadirin akan menyertainya.