Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demo anti-PTPTN: 3 siswa UM digantung satu semester

Tiga siswa Universiti Malaya (UM) yang terlibat dalam demonstrasi anti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 14 April lalu, digantung satu semester berkuatkuasa serta-merta.

Mereka yang dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti hari ini, turut diberi amaran keras dan didenda tidak lebih RM200 kerana dituduh memalukan universiti dan mengganggu ketenteraman awam.

Ketiga-tiga mahasiswa itu - Mohd Syahid Mohd Zaini, Muhammad Safwan Anang dan Haziq Abdullah Abdul Aziz - hadir dalam prosiding tatatertib yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 3, Kompleks Perdana Siswa pagi ini.

Mohd Syahid dan Muhammad Safwan adalah mahasiswa Akademi Pengajian Islam. Mohd Syahid adalah pelajar tahun akhir jurusan sains politik Islam manakala Muhammad Safwan pula pelajar tahun tiga jurusan Pendidikan Islam.

Manakala Haziq Abdullah pula merupakan pelajar tahun pertama jurusan undang-undang.

Ketiga-tiga mahasiswa tersebut diwakili pensyarah Fakulti Undang-undang Prof Azmi Sharom berdepan dengan jawatankuasa tatatertib tiga anggota yang mengendalikan prosiding berkenaan.

Pada 14 April lalu, seramai kira-kira 500 orang mahasiswa berhimpun menuntut pendidikan percuma dan pinjaman PTPTN dimansuhkan.

Mereka juga bertindak mengalungkan bunga malai pada gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di perhimpunan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Syahid berkata pihaknya tidak berpuashati dengan hukuman tersebut memandangkan ia merupakan kes pertama melibatkan mereka selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Kami boleh timbang (untuk menerimanya) sekiranya diberi amaran... Sewaktu perhimpunan, polis tidak mengeluarkan apa-apa amaran.

"Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun," katanya sambil mendakwa anggota jawatankuasa tatatertib turut mengakui peruntukan tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Syahid yang juga bekas yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, mendakwa wujudnya "tekanan pihak atasan" yang mahu mereka dihukum.

Sehubungan itu, Mohd Syahid berkata Azmi akan membuat rayuan terhadap hukuman terhadap mereka.

 

ADS