Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengadakan pertemuan kedua dengan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia Fahad Al Rasid bagi membincangkan kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini.
Jamil berkata pertemuannya itu bagi memaklumkan kepada Arab Saudi supaya mengambil perhatian terhadap kebimbangan jemaah haji berhubung kuota Malaysia, khususnya selepas demonstrasi BERSIH di Mekah dan Madinah.
"Atas kebimbangan itu, kita bertindak secara tersusun dalam bentuk yang perlu.
"Saya juga akan menulis surat kepada menteri wakaf dan haji Arab Saudi mengenai permakluman kuota haji," katanya dalam sidang media di Bangunan Tabung Haji di ibu negara selepas pertemuan 35 minit.
Pertemuan pertama membincangkan isu itu berlangsung pada awal bulan lalu.
Jamil berkata, walaupun kebiasaannya pemakluman kuota haji diketahui awal Ramadan, tetapi tindakan yang dibuat sebagai "satu tindakan proaktif" untuk mendapatkan kouta sebanyak 28,000 jemaah haji.
"Kita bekerja untuk ke arah itu," katanya sambil menambah beliau menerima SMS daripada jemaah haji yang bertanyakan tentang status kuota haji.
Selepas perhimpunan BERSIH lalu, kerajaan Arab Saudi dilaporkan memandang serius tindakan rakyat Malaysia berdemonstrasi di Mekah dan Madinah.
Ia antaranya dikhuatiri menjejaskan kuota bilangan jemaah haji Malaysia dan hubungan kedua-dua negara.
Beliau juga berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat campur tangan menyelesaikan isu kuota haji kerana mempunyai hubungan yang baik dengan Raja Abdullah.
Jamil berkata hampir hampir sejuta jemaah Malaysia berada dalam senarai menunggu dan memerlukan masa yang panjang untuk menghabiskan senarai tersebut jika ada perkara yang membantutkannya.
