Saksi utama perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ummi Hafilda Ali menuntut RM800,000 daripada Karangkraf Sdn Bhd, Ultimate Print Sdn Bhd dan Media Network Sdn Bhd kerana mendakwa difitnah dalam artikel bertajuk 'Ummi Hafilda Nikah' yang disiarkan dalam tabloid dwi-mingguan Bacaria pada 13 Mac 1999.

Rakannya yang sering kelihatan bersama Ummi di mahkamah ketika perbicaraan rasuah Anwar, Khairuddin Abu Hassan, menuntut RM1.1 juta dari pihak yang sama sebagai kos penyelesaian kes saman mereka berdua di luar mahkamah.

Dalam saman mereka, Ummi dan Khairuddin pada asalnya menuntut RM10 juta tiap seorang.

Sumber Bacaria memberitahu malaysiakini hari ini bahawa perbincangan untuk menyelesaikan kes saman itu bagaimanapun tidak berhasil

Menurut sumber itu lagi, Bacaria yakin akan memenangi kes tersebut dan pihkanya menolak tuntutan itu. Sebaliknya Bacaria meneruskan proses mahkamah seperti sebelum ini. Kes itu bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Dr Kanalanathan Ratnam di Wisma Denmark, Kuala Lumpur.

Rencana yang diterbitkan di muka hadapan Bacaria itu memetik satu ulasan seorang penulis seperti dipaparkan di laman web proreformasi tahun lepas.

Penulis cerita di laman web itu mendakwa beliau seorang kenalan rapat kepada keluarga Khairuddin. Penulis itu mendakwa Khairuddin bertunang dengan Ummi ketika kes Anwar sedang hangat di mahkamah.

Pasangan itu diceritakan kemudiannya berkahwin dalam satu majlis kecil-kecilan di Kampung Kebun Sireh, dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Majlis tersebut diadakan secara sederhana kerana masyarakat setempat tidak suka kepada keluarga Khairuddin, menurut sumber itu lagi.

Dalam laporan itu juga, Khairuddin didakwa anak saudara kepada Allahyarham Sulaiman Palestine, seorang tokoh politik Umno yang terkenal. Dengan menjual nama bapa saudaranya, dakwa tulisan dalam laman web itu seterusnya, Khairuddin mudah mendekati tokoh-tokoh politik dan dari situlah beliau dapat peluang perniagaan.

Selain bergantung pada sumber laman web, rencana Bacaria itu memuatkan kenyataan Azwan Ali, abang Ummi yang menafikan perkahwinan tersebut. Azwan juga dilaporkan tidak bersedia mengizinkan Bacaria menghubungi adiknya kerana bimbang akan menganggu perbicaraan yang sedang berlangsung.

Artikel itu juga memuatkan foto Ummi dalam saiz yang besar.

Ummi dalam samannya mendakwa penerbitan artikel itu menyebabkan beliau berasa malu untuk berjumpa orang ramai dan rakan.

Ummi dalam perbicaraan sebelum ini menolak cadangan peguam mewakili defenden bahawa artikel itu tidak menjejaskan kredibilitinya sebagai saksi kes Anwar.

"Nama saya tetap tercatit sebagai saksi penting dalam kes rasuah Anwar Ibrahim dan saya tidak mahu reputasi saya terjejas hanya kerana berita yang memalukan," katanya.

Ummi tetap menegaskan, penerbitan akhbar itu tidak bertanggungjawab kerana menyiarkan artikel berkenaan walaupun abangnya, Azwan Ali, menafikan perkahwinan itu ketika dihubungi penulis artikel, Iman Imran tahun lalu.

Selain menuntut ganti rugi berbentuk wang, kedua-dua plaintif meminta defenden memohon maaf secara terbuka dalam akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia, tujuh hari selepas tarikh penghakiman saman berkenaan.

Kata mereka, kenyataan memohon maaf itu perlu memasukkan gambar mereka, perkataan yang dipersetujui mereka dan ia perlu disiarkan dalam ukuran tidak kurang satu perempat halaman kedua-dua akhbar berkenaan.

Mereka turut menuntut defendan memberi jaminan dan akujanji bahawa defendan tidak akan mencetak dan menyiarkan apa-apa mengenai diri mereka tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada mereka terlebih dahulu.

Tiga defenden itu, masing-masing penerbit, pencetak dan pengedar tabloid Bacaria. Khairuddin juga merupakan penyelaras buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM." Ummi dan Khairuddin, diwakili peguam John Clark Sumugod. Manakala Pengarang Bacaria, Jalil Yusof, dan Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Jalil Ali, diwakili peguam Haris Ibrahim.