BERITA

'Penyenaraian Felda akan lebih baik dari Facebook'

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Jun 2012, 4:14 pagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Malaysia akan lebih baik daripada laman sosial Facebook.

NONE "Penyenaraian ini mencatat dua detik sejarah untuk FELDA. Pertama, penyenaraian terbesar di Asia pada tahun 2012.

"Kedua, ia IPO (tawaran permulaan awam) kedua terbesar di dunia selepas Facebook. Insya-Allah, FGV lebih baik daripada Facebook, saya kira," katanya sambil diiringi gelak ketawa para hadirin.

Najib berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sempena pelancaran prospektus FGVH di Bursa Malaysia.

Reuters pada 22 Mei lalu melaporkan proses " book-building " FGVH untuk penyenaraian lebih AS$3 bilion akan bermula hari ini dan berakhir pada 15 Jun, kata sumber yang mengetahui langsung urusniaga itu.

Proses itu menjadikan pengendali perladangan nombor tiga di dunia itu lebih dekat kepada tawaran IPO yang dirancang dicatat pada penghujung Jun, yang kedua terbesar setakat ini selepas IPO Facebook bernilai AS$16 bilion minggu lalu.

NONE Dalam ucapannya juga, Najib berkata, janjinya untuk memberi durian runtuh kepada isteri peneroka sebanyak RM5,000 akan dibuat dalam pemberian fasa kedua pada 7 Julai ini.

Menurutnya, majlis pemberian tersebut diadakan bersempena dengan Hari Peneroka dan pelancaran Menara Felda yang baru.

Najib juga berjanji akan menjaga masa depan Felda daripada ditimpa "kemudaratan" demi kebaikan lebih 112,000 peneroka dan generasi terkemudian.

"Saya akan tetap perjuangkan Felda sebagai institusi dan lambangg kejayaan negara dan kejayaan rakyat Malaysia," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.