Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mendedahkan video klip dan audio kedua berdurasi 30 saat berhubung dakwaan cubaan membeli ahli parlimen Pakatan Rakyat dari PKR oleh seorang agen BN.
Dalam sidang media sebelum ini, beliau mendakwa agen tersebut adalah bekas Ketua Pemuda PKR Kedah PKR Zamil Ibrahim ( bawah ).
Dalam pendedahan video klips terbaru hari ini, Khalid turut mengedarkan transkrip kepada media perbualan Zamil yang didakwanya lebih kurang 31 ahli parlimen PKR untuk didekatinya.
"Memang ada usaha gigih, teratur dan tersusun, bukan sembang kosong, dia dah senaraikan identiti orang yang tidak puas hati.
"Matlamat untuk nak beli MP (PKR) ini... Inilah demokrasi negara kita tercabar dengan budaya politik wang," katanya.
Dalam pendedahan itu juga, beliau juga menamakan seorang lagi individu yang didakwanya sebagai agen BN untuk berbuat demikian.
Zamil pada 14 Jun lalu ketika dihubungi tidak mengesahkan atau mengiyakan dakwaan memainkan peranan dalam dakwaan rundingan supaya wakil rakyat Pakatan berpaling tadah.
Zamil juga menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan seorang ejen Umno dan "tak ada kena mengena dengan Umno."