Nik Aziz: Lebih baik Nasha keluar PAS

       

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak hairan jika Nasharudin Mat Isa keluar daripada parti itu setelah bekas timbalan presiden PAS itu dilihat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah semalam, demikian menurut laporan Bernama .

    

NONE "Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi presiden PAS boleh masuk Umno, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya kepada Bernama di Kota Bharu hari ini.

    

Akhbar hari ini memaparkan gambar Nasharuddin menyertai perdana menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi.

    

Nasharuddin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dalam PAS ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Nik Aziz.

    

Dalam Muktamar Agung PAS tahun lepas, Nasharuddin gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden kepada Mohamad Sabu.

    

Nik Abdul Aziz juga dipetik Bernama sebagai berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

    

- Bernama

 

1. Nik Aziz: Lebih baik Nasha keluar PAS

2. Mahfuz cabar Nasha berdepan Majlis Syura

3. 'Hanya musuh gembira dengan kenyataan Nasha'

Malaysiakini
terkini untuk anda