PAS membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi, yang mempertahankan tindakan lucah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Adnan dilaporkan berbuat demikian pada hari penamaan calon bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sanggang Selasa lalu.

Menurut Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Dr Mohamad Hatta Ramli, walau apa alasan, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin.

"Pak Lah bersimpati dengan Adnan tetapi kenyataan beliau mempertahankan Adnan itu menunjukkan justifikasi yang tidak waras," kata Hatta lagi.

Hari ini, akhbar-akhbar harian melaporkan Abdullah sebagai berkata beliau "amat bersimpati (pada Adnan)" dan "saya (Abdullah) tidak hairan mengapa Adnan (menunjuk isyarat lucah itu)."

Akhbar juga melaporkan kenyataan Adnan bahawa tindakannya itu berpunca daripada provokasi salah seorang penyokong PAS yang menunjukkan isyarat lucah terlebih dahulu dan beliau membalasnya secara spontan

"Saya balas balik sebab cara menangani orang yang kurang ajar ialah dengan (cara) kurang ajar juga," kata Adnan seperti dilaporkan.

Akhbar Berita Harian memetik Adnan sebagai berkata beliau bertindak sedemikian selepas menerima "provokasi yang serius dan tiba-tiba".

PAS juga meminta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, membuktikan dakwaannya bahawa penyokong parti itu memulakan provokasi dengan mengeluarkan kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah.

"Adnan perlu buktikan dakwaan beliau seperti (mana pembangkang menunjukkan) tindakan beliau dalam foto tersebut," kata Hatta lagi, atas dakwaan penyokong Pas mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak lucah.

Adnan juga berkata beliau akan mencetak kembali foto yang diterbitkan dalam internet dan mengedarkannya ke kampung-kampung dalam kawasan pilihan raya tersebut.

Hatta yang berada di kawasan tersebut tidak dapat mengesahkan laporan akhbar bahawa penyokong partinya mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan kelakuan lucah kepada menteri besar tersebut.

Sementara itu, seorang wartawan akhbar tabloid yang tidak mahu dikenali memberitahu malaysiakini hari ini bahawa penyokong PAS memulakan provokasi sehingga Adnan bertindak mengeluarkan tiga isyarat lucah semasa menunggu proses bantahan penamaan calon di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Menurut wartawan itu yang berada di tempat kejadian, penyokong parti Islam itu mengeluarkan kata-kata kesat, antaranya 'hancur Barisan, mampus Barisan' dan kata-kata yang mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

"Saya tidak menyokong mana-mana pihak, tapi jelas kata-kata kesat yang dilontarkan oleh penyokong PAS adalah benar seperti yang dilaporkan oleh akhbar hari ini," katanya.

Apabila ditanya dakwaan Adnan tentang penyokong pembangkang yang menunjukkan isyarat lucah terlebih dahulu, wartawan itu bagaimanapun berkata beliau tidak nampak kejadian tersebut.

Semalam, malaysiakini melaporkan MB Pahang itu menunjukkan tiga isyarat lucah kepada para penyokong PAS. Beliau juga menonggengkan punggungnya kepada para penyokong pembangkang.

Perbuatan itu dapat dilihat oleh ramai orang termasuk jurugambar yang penuh sesak di kawasan terbabit.

Timbalan Perdana Menteri yakin kempen Barisan Nasional dalam pilihan raya itu tidak akan terganggu walaupun selepas foto dan isu itu disebarkan oleh parti pembangkang.