BERITA

Polis: Tiada lampu hijau untuk 'Janji Bersih'

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Ogs 2012, 12:16 tengahari

Tiada "lampu hijau" diberikan kepada penganjur "Himpunan Janji Bersih" yang akan diadakan pada 30 Ogos ini, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad.

Katanya, tiada kebenaran diberikan kerana Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2011 mensyaratkan penganjur memberi notis sepuluh hari sebelum perhimpunan diadakan namun perkara itu gagal dilakukan, lapor Bernama .

"Kalau menurut akta tersebut, penganjur telah melakukan kesalahan kerana tidak memberikan notis kepada kita...jadi dari pihak polis tiada sebarang kebenaran akan diberikan.

"Cuma mereka berjanji kepada kita bahawa perhimpunan itu akan dilakukan secara aman," beliau dipetik sebagai berkata kepada agensi berita nasional itu.

Zainuddin berkata, pada perhimpunan tersebut polis bersetuju memberi kawalan trafik dan keselamatan sebagai langkah awal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kekecohan.

Menurutnya, perbincangan sejam dengan wakil penganjur di ibu pejabat polis Daerah Dang Wangi hari ini bertujuan menerangkan syarat yang perlu dipersetujui seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Mereka (penganjur) memberitahu polis akan menganjurkan perhimpunan itu secara aman dan bersetuju akan mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman seperti tidak akan mengadakan ceramah, ucapan, pemasangan kain rentang (banner) atau membawanya semasa perhimpunan.

"Jadi kita berjumpa hari ini untuk mendengar apa yang mereka inginkan selain kita turut menerangkan kepada mereka peraturan yang perlu mereka patuhi sekiranya ingin mengadakan perhimpunan tersebut," beliau dipetik sebagai berkata.

Zainuddin berkata, polis turut menasihatkan penganjur agar mengawal kelakuan peserta perhimpunan daripada bertindak liar serta menimbulkan kekecohan.

"Polis akan bertindak menahan peserta perhimpunan sekiranya mereka (peserta) melanggar akta yang telah ditetapkan," katanya lagi seperti dilaporkan Bernama.

Himpunan merdeka: Tiada 'ya' atau 'tak' dari polis

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.