Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) hari ini menjelaskan bahawa komitmen Lynas untuk menghantar kesemua sisa daripada loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan tidak terikat dengan lesen pengendalian sementara yang diperolehi syarikat itu.
Ketua pengarah AELB Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan dalam taklimat kepada media hari ini berkata, perkara itu tidak pernah menjadi syarat untuk lesen berkenaan.
Bagaimanapun, AELB mengambil maklum komitmen Lynas dan lembaga itu kemudiannya memutuskan untuk mengeluarkan lesen berkenaan, katanya.
Ditanya mengapa lembaga itu hanya berpegang kepada komitment unilateral Lynas tanpa hitam putih, Raja Abdul Aziz ( atas ) menjelaskan bahawa kuasa AELB terhad kepada undang-undang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa AELB akan menimbang semula perkara itu sekiranya Lynas memungkiri komitmen untuk menghantar sisa berkenaan ke luar negara.
Katanya, beliau yakin Lynas akan menghantar sisa tersebut keluar dari Malaysia.
