Presiden PAS: Nasha kekal dalam majlis syura

       

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan bahawa bekas timbalannya, Nasharudin Mat Isa masih kekal sebagai anggota Majlis Syura Ulama parti itu.

Katanya, kedudukan Nasharuddin tidak dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan, yang berlangsung selama dua jam bermula jam 9 malam sehingga lewat malam malam ini.

Sebaliknya, mesyuarat berkenaan adalah untuk membincangkan mengenai calon PAS yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, kata Abdul Hadi lagi kepada pemberita.

"Tidak ada dalam agenda (mesyuarat). Tak ada. Dan dia hadir dalam mesyuarat. Dia masih lagi jadi ahli Majlis Syura Ulama," katanya menjawab soalan pemberita berhubung isu kedudukan bekas timbalan presiden itu.

"(Jadi) tidak timbul apa-apa masalah. Siapa yang timbul masalah (ini) ?" soal Abdul Hadi.

Kenyataannya itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Nasharudin yang dilihat sebagai duri dalam daging parti itu, ekoran kenyataan MP Bachok itu sebelum ini.

Ditanya sama ada Nasharudin akan kembali dicalonkan PAS dalam pilihan raya itu, Abdul Hadi berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.

"Itu tunggu pilihan raya (nanti) termasuk saya sendiri tak tahu jadi calon ataupun tidak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai senarai calon itu, Abdul Hadi berkata ada kawasan PAS tertentu yang menyenaraikan sehingga empat calon bagi kawasan berkenaan.

Katanya, mesyuarat itu membincangkan bahawa PAS perlu meletakkan calon yang berwibawa dari sudut Islam dalam pilihan raya itu.

"Majlis Syura meluluskan semua nama-nama yang dicalonkan walaupun ada satu parlimen atau satu DUN untuk seorang sahaja (untuk bertanding).

"Terpulang kepada PAS negeri dan PAS kawasan (untuk memutuskan senarai tersebut)," katanya lagi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu.

Nasharudin, yang kelihatan ceria selepas mesyuarat berkenaan, turut menyertai sidang media bersama Abdul Hadi dan juga seorang naib presiden PAS, Salahuddin Ayub, namun enggan memberi sebarang ulasan.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat beredar daripada pejabat agung PAS kira-kira jam 9.20 malam tanpa memberi sebarang kenyataan kepada pihak media.

Nasharudin mencetus kontroversi sebelum ini ekoran kenyataannya yang menggesa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana pengerusi DAP Karpal Singh berkeras menolak pelaksanaan hudud.

Malaysiakini
terkini untuk anda