Upah minimum: Menteri tidak baca akhbar
Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn, memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau "tidak membaca akhbar" dalam jawabannya kepada soalan dari seorang wakil rakyat DAP.
Wakil Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, mengemukakan soalan tambahan tentang pendirian sebenar kerajaan berhubung kadar upah minimum, sama ada RM600 atau RM 1,200, kerana timbul kekeliruan daripada laporan akhbar.
Teresa merujuk laporan akhbar New Sunday Times semalam yang menyebutkan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sebagai berkata pemberian gaji wajar diselaraskan dengan produktiviti seseorang pekerja.
Daim menjelaskan bahawa upah minimum sebanyak RM1,200 bergantung kepada "siapakah individu yang terlibat," apabila ditanya kadar tersebut adalah tinggi. Beliau juga bercadang mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membincangkan isu tersebut.
Berhubung upah minimum RM1,200 yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kepada rombongan MTUC sebelum pilihanraya umum lalu, Fong menjawab "kerajaan akan mempertimbangkan" cadangan badan sekerja itu.
Isu ini hangat diperkatakan apabila Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak, mendesak kerajaan menetapkan upah minimum sebanyak RM600. Kadar ini dikemukakan selepas badan itu menjalankan kajian bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menunjukkan dua juta pekerja Malaysia menerima gaji di bawah garis kemiskinan negara.
Zainal kemudiannya menyokong saranan Dr Mahathir agar pekerja di negara ini mendapat RM1,200 sebulan sebagai upah minimum.
Banyak pihak berpendapat cadangan MTUC itu akan membebankan syarikat dan negara.
Fong juga memberitahu dewan bahawa seramai 83,865 orang hilang pekerjaan pada 1998 berbanding 37,357 orang pada tahun lalu.
Angka ini menunjukkan kejayaan tindakan-tindakan pemulihan ekonomi yang diambil oleh kerajaan, katanya lagi.

