versi terkini Isteri seorang aktivis reformasi Dr Badrul Amin Baharom yang dikehendaki polis ketika operasi tangkapan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) minggu lalu membantah sikap pihak itu mengekori dan menggeledah rumah ibunya.

Sementara itu Siti Zubaidah Husni, kakak kepada isteri tokoh politik itu Zumrah Husni, bagi pihak keluarganya membuat aduan berhubung hal itu di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Besar pada 11 April lalu. Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, seorang pegawai polis di situ mengesahkan aduan tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, laporan itu telah diserahkan ke balai polis Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Dr Badrul Amin memberitahu malaysiakini , laporan itu dibuat kira-kira jam 12.30 tengah malam ekoran tindakan polis mengekori isteri dan anak-anaknya serta menggeledah kediaman ibu isterinya itu di Batu 38, Sabak Bernam beberapa jam sebelum itu.

Beliau berkata polis mengekori isterinya dari rumah beliau di Taman Desa Jaya, Kepong hingga ke rumah mertuanya itu sejak Selasa minggu lalu dan berlarutan beberapa hari hingga 15 April, sehari selepas perhimpunan di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Lima pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi ditahan di bawah ISA pada Selasa itu dan dua lagi ditahan keesokannya. Mereka dituduh cuba merancang demonstrasi besar-besaran secara militan.

Polis menangkap Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis pergerakan itu Abdul Ghani Haroon, pengerusi jawatankuasa penganjur acara itu Saari Sungib, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.

Empat orang daripada mereka - Tian, Ezam, Saari dan Hishamuddin - ditahan sekitar jam 4.30 hingga 6.30 petang di Kuala Lumpur dan Selangor. Sementara yang lain ditahan antara jam 11.30 malam Selasa hingga 10.30 pagi Rabu di Selangor, Kedah dan Sarawak.

Dr Badrul Amin berkata, dua buah kereta telah mengekori kenderaan isterinya dari Kuala Lumpur ke Sabak Bernam, Selangor dan kemudian menunggu di tepi jalan berdekatan rumah ibu isterinya.

Geledah tanpa waran

Kata bekas pensyarah undang-undang itu lagi, tiga buah kereta kemudian masuk ke halaman rumah, disertai sembilan orang anggota polis berpakaian biasa kecuali seorang berpakaian seragam yang dikenali sebagai Mohd Khairi Kassim.

Lima daripada mereka menemui ibu mertuanya menjelang jam 7 petang pada hari kejadian itu, katanya.

"Mereka bertanya tentang diri saya dan ingin menyampaikan berita bahawa (kononnya) sahabat saya terlibat dalam satu kemalangan di Kuala Lumpur," kata Dr Badrul Amin.

Pada waktu itu, hanya ibu mertua dan anak-anaknya berada di rumah, sementara isterinya telah menemani bapa mertua menghadiri majlis kenduri, katanya.

"Polis terus masuk menggeledah (di beberapa tempat di dalam rumah) tanpa memperkenalkan diri, menunjukkan kad polis atau waran geledah," cerita pemimpin Keadilan itu lagi, apabila polis diberitahu beliau tidak berada di rumah itu.

Beliau juga mendakwa anggota polis menaiki rumah itu tanpa menanggalkan kasut dan tindakan itu telah dimarahi oleh ibu mertuanya. Tambahnya, polis merekodkan nombor kad pengenalan ibu, butiran-butiran tentang dua orang anaknya dan kemudian memberitahu kedatangan mereka hendak menangkapnya.

Dr Badrul Amin juga menyebutkan anggota-anggota polis itu turut menghalang ibu mertuanya menunaikan sembahyang Maghrib dan mengarahkannya menjamakkan (menghimpunkan) sembahyang waktu itu dengan sembahyang Isya'.

"Jika berlaku apa-apa (kepada tujuh tahanan ISA), nampaknya negara ini sedang menuju ke arah kehancuran," katanya lagi.

Nota: Siti Zubaidah Husni adalah kakak kepada isteri tokoh politik itu, Zumrah Husni. Harap maklum

Berita-berita berkaitan: