BERITA

Noh minta S'gor perjelas dakwaan jual aset PKNS

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Okt 2012, 8:48 pagi

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menjual aset yang dimiliki syarikat tersebut.

Beliau mendakwa lembaga pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjual lima aset bangunan – Wisma Yakin, PKNS Shah Alam, PKNS Bangi, PKNS Petaling Jaya dan SACC Mall yang kesemuanya bernilai RM321 juta.

Noh mendakwa perkara itu sudah mendapat kelulusan lembaga pengarah PKNS walau penjualan masih belum berlaku dan perjanjian juga belum ditandangani.

"Sekiranya benar Menteri Besar Selangor pandai mentadbir dan telus kenapa aset-aset ini perlu dijual?," soalnya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Bercakap dalam sidang media, Noh mendakwa beliau "mempunyai bukti" berhubung dakwaannya itu.

"Dalam perkara ini, saya tidak menuduh, tetapi saya meminta menteri besar menafikan... Transaksi masih belum berlaku. Tetapi lembaga pengarah telah luluskan, (berada) di peringkat akhir

"Kalau dia kata tak ada, tak adalah. Itu sahaja... Benda ini dalam proses penjualan tetapi belum berlaku lagi. Perjanjian (juga) belum berlaku lagi. (Proses) tandatangan perjanjian belum ditandatangani. Baru kelulusan lembaga pengarah sahaja," katanya.

Katanya lagi, Sehubungan itu, Noh yang juga timbalan pengerusi Umno negeri berkata hanya Khalid sahaja yang boleh menjawab perkara ini sama ada perkara ini berlaku ataupun tidak.

Noh juga berkata hanya Khalid sahaja yang boleh menghalang daripada penjualan aset itu berlaku sekalipun mendakwa beliau mengetahui kepada siapa aset itu dijual.

Ditanya tujuan penjualan aset tersebut, Noh secara menyindir berkata: "Itu kena tanya menteri besar yang cemerlanglah, sebab apa nak jual dengan nilai RM321 juta ini".

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.