Perdana Menteri hari ini menafikan peletakan jawatan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tetapi mengesahkan menteri itu sedang bercuti selama dua bulan dengan alasan "letih."

"Saya fikir begitu," kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya sama ada Daim akan kembali semula selepas percutian ini. "Tun Daim letih (tired) sebab itu dia pergi bercuti."

Perdana Menteri juga berkata Daim tidak akan menghadiri mesyuarat kabinet setiap Rabu dan juga mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang diadakan setiap awal bulan. Selain menteri, Daim memegang jawatan bendahari parti itu.

"Dia (Daim) tidak kata apa-apa (tentang peletakan jawatan) sebab itu saya tidak boleh jawab," katanya lagi apabila ditanya pemangku jawatan itu.

Apabila disoal lagi kemungkinan Daim meletakkan jawatan dalam masa terdekat, Dr Mahathir menjawab "dia tidak melepaskan jawatan, dia hanya pergi bercuti."

Jemputan Tengku Razaleigh

"Kita akan mengambil langkah sesuai apabila tiba masanya," katanya lagi, apabila ditanya tindakan pengganti jika Daim meletakkan jawatan, dan menambah buat masa sekarang isu itu tidak timbul.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri majlis dialog dengan pemimpin muda Afrika di bangunan PWTC petang tadi.

Apabila ditanya alasan beliau kerap ke Kelantan akhir-akhir ini, Dr Mahathir berkata beliau ke negeri itu untuk melancarkan satu lagi tabung amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) esok.

"Dulu, saya pergi kerana dijemput oleh Tengku Razaleigh," katanya, sambil menambah setiap kali ke negeri itu, beliau berusaha mengadakan pertemuan dengan beberapa bahagian Umno.

Dua minggu lalu, beliau merasmikan mesyuarat agung Umno bahagian Gua Musang yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketika ditanya tentang laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang diserahkan kepada Dewan Rakyat hari ini, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak terikat pada pandangan badan itu.