Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kira-kira 200 umat Islam termasuk beberapa NGO di negeri Selangor hari ini berhimpun di Masjid Shah Alam bagi membantah penggunaan kalimah Allah dalam bible bahasa Melayu.

Mereka juga berhimpun mempertahankan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci khusus untuk orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh bukan Islam sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010.

"Kami rakyat Selangor mendesak semua pihak agar menghormati Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, yang digubal selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen 9 Enakmen ini dengan jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

NONE "Kami rakyat Selangor ingin menasihatkan orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham pelbagai agama dan kaum di negara ini," kata jurucakap NGO itu Hamidzun Khairuddin.

Ucapan beliau itu kemudiannya disambut dengan laungan takbir dan Daulat Tuanku.

Beliau juga memberi amaran kepada semua pihak terutama parti politik agar tidak mengguna atau memperalatkan agama Islam sebagai modal politik kerana didakwa boleh mengakibatkan kekeliruan rakyat dan persengketaan kaum dan agama.

"Kami rakyat Selangor ingin memberikan amaran kepada semua parti politik, jangan kita menang jadi abu, kalah jadi arang dalam mengejar kuasa di negara ini.

"Musuh-musuh luar negara sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri kita, mereka irihati dengan keharmonian di negara kita dan mereka sentiasa mencari peluang mewujudkan sengketa antara agama dan kaun di bumi Malaysia," katanya.

Turut hadir memberi sokongan dalam perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu ialah Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Hasan Ali, Senator Ezam Mohd Nor, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor Datuk Sohaimi Shahadan dan beberapa lagi wakil NGO.

Antara NGO yang hadir adalah PERKASA, Pembela, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Majlis Belia Selangor dan Isma.

NONE Sementara itu, Hasan yang juga bekas naib presiden PAS pula dalam ucapannya pula berkata beliau tidak nampak apa rasional kumpulan bukan Islam khususnya Kristian mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible.

"Kita tidak pernah dicabar (sebelum ini), sehingga bukan Islam khususnya Kristian yang mahu masukkan kalimah Allah dalam bible bahasa Melayu. Sehingga hari ini saya tidak nampak rasional dan objektif tujuan mereka," katanya sambil diiringi laungan takbir dan Daulat Tuanku.

Bagaimanapun, beliau kecewa terdapat sebahagian daripada umat Islam yang sudah "melulus dan mengiktiraf" bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam.

Sehubungan itu, Hasan berkata kumpulan NGO tersebut bercadang untuk mengadakan perhimpunan yang lebih besar dalam tempoh dua minggu bagi menyatakan bantahan mereka berhubung isu tersebut.

"Ini untuk membuktikan bahawa orang Islam bukan cakap sahaja di kedai-kedai kopi untuk bersuara, tetapi kita nak berhimpun untuk menyatakan isi hati bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif untuk Islam dan bukan untuk agama Kristian versi Bible Melayu," katanya sambil sekali lagi diiringi laungan takbir.

NONE Katanya, sekiranya penggunaan kalimah Allah itu digunakan, akan memberi kesan kepada keluarga, masyarakat dan generasi yang akan datang.

Sementara itu, bercakap kepada media, Sohaimi yang juga exco Pemuda Umno Malaysia berkata, isu berhubung kalimah Allah sebelum ini telah reda, tetapi dibangkitkan semuka oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan polemik.

"Ia tidak boleh dipolitikkan. Jika salah guna, membawa tanggapan (buruk) dan kesan kepada generasi akan datang. Boleh menimbulkan kekeliruan.

"Ini soal agama, soal akidah, jangan mudah memperjudi dan mempergadaikannya.

"Saya menyeru semua pihak tanpa mengira politik, kita ada tanggungjawab besar untuk mempertahankannya.

"Allah akan bertanya kepada kita di akhirat kelak," tegasnya.

 

 

 

 

 

ADS