versi terkini Komputer, video cakera padat, diari dan resit derma dalam simpanan pemimpin Parti Keadilan Nasional Dr Badrul Amin Baharom dirampas polis ketika rumahnya diserbu sebelum ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal pagi tadi.

Bagaimanapun senarai barang rampasan itu diambil kembali oleh polis, kata isterinya Zumrah Husni kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) petang tadi. Pertemuan selama lebih sejam itu diadakan dengan pesuruhjaya badan itu, Tan Sri Datuk Anuar Zainal Abidin.

Anuar juga merupakan ketua jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan keganasan polis dalam satu perhimpunan di Lebuhraya Kesas November tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Norian Mai hari ini mengesahkan penangkapan itu dibuat di bawah seksyen 73 (1) akta tersebut dan ada kaitan dengan tujuh tangkapan minggu lalu.

"Kita hanya ada beberapa sasaran lagi dan melihat perkembangan keselamatan seterusnya (untuk bertindak," katanya di Kangar seperti dilaporkan laman web Berita Harian . Beliau bagaimanapun berkata tangkapan kelapan ini "bukanlah tanda bermulanya satu siri tangkapan baru."

Zumrah bersama lima anaknya, yang memakai riben putih dan lencana anti-ISA, menyerahkan satu aduan ringkas ketika polis berada di kediamannya di Kepong, Kuala Lumpur kira-kira jam 1 pagi sehingga Dr Badrul Amin dibawa sejam selepas itu.

Dalam aduan itu, beliau menyebutkan lebih kurang 30 anggota polis berpakaian biasa mengepung rumahnya di Taman Desa Jaya dan tiga daripada mereka memanjat pagar selepas memanggil selama 15 minit.

"Walaupun rumah telah dikepung sebegitu ramai anggota polis di belakang rumah, jalan keluar-masuk utama (di kawasan perumahan itu) dan di depan rumah, polis percaya Dr Badrul Amin akan lari dari kepungan mereka," kata Zumrah dalam aduannya, salinannya diedarkan kepada media.

Risalah kem motivasi

Isteri Dr Badrul Amin hanya membuka pintu selepas anggota polis mengetuk pintu rumahnya dengan kuat kerana beliau bimbang pintu itu pecah, aduan itu dipetik.

"Seramai tujuh orang (polis) telah menggeledah di bahagian ruang tamu untuk mencari bukti kukuh bahawa Dr Badrul Amin adalah salah seorang perancang untuk mengkucar-kacirkan negara seperti didakwa oleh salah seorang anggota (polis) tersebut," kata Zumrah lagi.

Beliau juga menyebutkan kebanyakan anggota polis itu berketurunan India dan diketuai seorang pegawai berpangkat ASP (asisten supritenden) yang dikenali Razak Rashid yang dikatakan dari Sarawak.

Barangan yang dirampas termasuklah pelekat-pelekat 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC), VCD 'Tak Akan Melayu Hilang di Dunia' dan risalah motivasi kem perkhemahan yang dikendalikan Dr Badrul Amin.

Selama 40 minit rumahnya digeledah, aktivis Keadilan itu meriba anak bongsunya yang berusia lebih 2 tahun dengan tenang tetapi tidak dibenarkan didekati oleh beliau sendiri dan pembantu peribadi suaminya, kata Zumrah lagi.

Suri rumah sepenuh masa itu turut menjelaskan polis tidak membenarkannya membekalkan ubat lelah kepada suaminya.

Selain lima orang anaknya, Zumrah turut diiringi oleh pembantu peribadi suaminya Nazaruddin Mohamed Ferdoos, peguam hak asasi Sivarasa Rasiah, Setiausaha Agung Keadilan Mohd Anuar Tahir, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan ahli jawatankuasa pusat parti itu Irene Fernandez.

Polis telah memantau rumah aktivis Keadilan itu dan juga rumah keluarga mertuanya di Sabak Bernam, Selangor sejak 10 April lalu dan beberapa hari selepas itu. Bagaimanapun waktu itu, Dr Badrul Amin tidak berada di situ.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), adalah tahanan ISA kelapan setakat ini. Polis bercadang menangkap beberapa lagi aktivis parti itu dan gerakan reformasi.

Bimbang keselamatan tahanan

Mereka yang ditahan minggu lalu adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis pergerakan itu Abdul Ghani Haroon, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'Black 14' Saari Sungib, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.

Tindakan terbaru polis dikecam oleh parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang menggesa Norian agar semua tahanan, termasuk Dr Badrul Amin, dibebaskan kerana "cerita dongeng" polis berhubung tuduhan demonstrasi besar-besaran tidak boleh diterima lagi apabila perhimpunan di pejabat Suhakam Sabtu lalu berlangsung secara aman dan tertib.

Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar pula mendakwa tindakan polis itu usaha melumpuhkan sayap Pemuda parti itu selepas mereka berjaya membangkitkan kesedaran orang ramai tentang isu-isu keadilan sosial dan hak asasi manusia.

"Pemimpin Pemuda memainkan peranan penting dalam menggerakkan anggota masyarakat dengan cara yang aman dan mengikut Perlembagaan ke arah Malaysia yang demokratik dan adil. Apakah kerana ini mereka dan teman-temannya ditangkap?" katanya.

Sementara badan bukan kerajaan, Inisiatif Manifesto Rakyat, melahirkan rasa bimbang keselamatan lapan tahanan tersebut yang masih tidak boleh dilawat oleh ahli keluarga dan peguam.

"Kita mempunyai pelbagai surat perakuan (afidavit) yang diserahkan pada 1987 bagaimana polis melayan tahanan ISA," kata jurucakapnya, juga pernah ditahan di bawah akta itu, Irene Xavier. "Setakat ini, tidak ada penderaan ke atas tahanan ISA didedahkan."

Sementara Sivarasa pula memberitahu malaysiakini , permohonan habeas corpus untuk Dr Badrul Amin akan disegerakan.

Berita-berita berkaitan