Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan memenuhi permintaan negara lain untuk menjadi pemerhati dalam pilihan raya umum ke-13, selain daripada jemputan melibatkan lebih 40 orang perwakilan dari lima negara Asean dan juga sekretariat pertubuhan negara berkenaan.

Lima negara Asean tersebut melibatkan Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina dan Burma.

Setiap negara berkenaan, termasuk sekretariat Asean, boleh menghantar sehingga tujuh orang perwakilan yang memberi jumlah keseluruhan pemerhati asing seramai 42 orang.

Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan perkara itu ketika memberi taklimat kepada Kelab Koresponden Luar Negara Malaysia di Kuala Lumpur pada malam tadi.

Beliau menjelaskan, SPR menjemput lima negara berkenaan kerana negara itu juga menjemput Malaysia untuk menjadi pemerhati pilihan raya mereka sebelum ini.

Wan Ahmad ketika ditanya berkata SPR tidak akan memenuhi permintaan negara lain untuk turut menyertai proses tersebut.

"Saya minta maaf... Permohonan mereka tidak boleh dipenuhi tapi mereka boleh perhatikan pilihan raya di luar zon larangan,” katanya.

Pusat pengundian, penamaan dan penjumlahan undi merupakan kawasan larangan yang hanya boleh dimasuki dengan kebenaran.

Jemputan berkenaan akan dihantar kepada kementerian luar tidak lama lagi, kata Wan Ahmad.

[Baca berita penuh]

ADS