Dewan tolak usul wang ehsan diambil kerajaan Tganu
versi terkini Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar bagi membincangkan wang ehsan yang asalnya disalurkan kepada institusi pendidikan di negeri itu tetapi dikembalikan kepada kerajaan PAS Terengganu.
Wang itu sebanyak RM40 juta diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan kepada Institut Lanjutan Teknikal Terengganu (Tati), Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dan 11 buah sekolah menengah agama di negeri itu.
Usul itu yang dibawa oleh seorang wakil kerajaan, Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ditolak oleh Timbalan Speaker, Datuk Lim Si Cheng. Bagaimanapun usul itu disokong oleh wakil-wakil pembangkang tetapi wakil-wakil kerajaan bertindak sebaliknya.
Seorang wakil pembangkang dan juga anggota kanan majlis mesyuarat kerajaan negeri itu, Mustafa Ali (PAS-Dungun) menyokong usul itu dengan hujah ia "perlu disegerakan kerana (isu) ini adalah fitnah."
Ketika menolaknya, Lim menjelaskan beliau berpuas hati dan bersetuju dengan dua syarat yang telah diperuntukkan iaitu isu itu melibatkan "perkara-perkara tertentu dan melibatkan kepentingan orang ramai".
Bagaimanapun beliau menolak usul tersebut kerana tidak memenuhi syarat ketiga, iaitu "perkara-perkara yang perlu disegerakan."
Ketika membentangkannya, Bung Moktar berkata usul itu perlu dibincangkan segera kerana bimbang peruntukan kewangan tersebut disalahgunakan untuk program-program politik pemimpin PAS negeri itu.
Bangun beramai-ramai
"Kerajaan Terengganu telah mengarahkan institusi-institusi tersebut menyalurkan wang (ehsan) kepada kerajaan negeri dan wang tersebut akan dikeluarkan semula mengikut keperluan semasa," katanya.
"Wang yang diserahkan kepada kerajaan negeri itu tidak diketahui pengurusannya."
Bung Moktar juga mengecam tindakan kerajaan Terengganu.
"Tindakan ini adalah satu jenayah, perbuatan keji dan keterlaluan serta menjejaskan kehidupan rakyat terbanyak khususnya pelajar terbabit," katanya.
Bung menambah, perkara tersebut perlu dibincangkan kerana tindakan itu dianggap zalim dan usaha "sabotaj" untuk membantutkan pendidikan rakyat negeri itu.
Sebagai membantah penolakan usul itu, wakil-wakil pembangkang kemudian bangun beramai-ramai dan terus mencabar Bung Moktar agar bersama mereka menyokong usul yang dikemukakannya itu.
Selain Mustafa, usul itu turut disokong oleh Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Mohd Apandi Mohamed (PAS-Jeli) dan Husam Musa (PAS-Kubang Kerian).
Lim yang cuba mententeramkan keadaan berkata, "Yang Berhormat, cukuplah. Keputusan saya sudah buat. Saya faham apa yang hendak dibincangkan tetapi ia tidak perlu disegerakan. Yang Berhormat boleh bangkitkan perkara itu semasa perbahasan Rancangan Malaysia Kelapan nanti."

