mk-logo
Berita
Dua doktor PAS Kedah digugur, seorang ke Jerlun

Pengumuman calon PAS Kedah bagi kerusi parlimen dan DUN malam tadi sudah pasti amat ditunggu-tunggu oleh banyak pihak termasuk pemerhati politik tanah air.

Pengumuman yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Datuk Seri Azizan Razak itu juga memperlihatkan kejutan termasuk mengundang dakwaan pelbagai pihak 'cubaan membunuh' kerjaya politik dua doktor perubatan yang menjadi wakil rakyat terbaik sama ada di DUN atau parlimen.

Tindakan PAS menyenaraikan semula Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ismail Salleh mungkin sedikit melegakan penyokongnya di negeri itu.

Namun mempertaruhkan beliau di kerusi parlimen Jerlun dianggap banyak pihak sebagai usaha 'memancungnya' di situ, apabila beliau bakal berdepan tentangan Setiausaha Umno Kedah Datuk Othman Aziz.

Dr Ismail adalah yang dipertua PAS Alor Setar dan menjadi wakil rakyat Alor Mengkudu dalam pilihan raya umum lalu. Tempat beliau kini digantikan dengan Ketua Pemuda PAS Kedah Ahmad Yahya.

Pemerhati politik melihat tindakan PAS itu sebagai 'pelik bin ajaib' kerana sokongan terhadap Dr Ismail telah 'mengakar' di situ, tetapi dipindahkan ke kawasan baru walaupun rakyat Kedah mungkin maklum namanya.

Sebelum ini, desas-desus bertiup kencang apabila seorang lagi timbalan pesuruhjaya Datuk Phahrolrazi Zawawi akan diletakkan di kerusi tersebut.

Tetapi, dengan pengumuman tersebut berakhir misteri nasib beliau - antara pemimpin yang dianggap 'kritikal' terhadap pentadbiran Azizan - untuk dipindahkan ke Jerlun.

PAS memutuskan untuk mengekalkan Phahrolrazi mempertahankan kerusi Pengkalan Kundor yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lalu.

Persoalan yang timbul, apakah faktor yang menyebabkan berlaku perubahan calon di Jerlun yang sebelum ini ura-ura diberikan kepada Phahrolrazi, kemudian melepaskan 'baton' itu kepada Dr Ismail.

Apakah disebabkan desakan dan tekanan akar umbi menyebabkan PAS memutuskan untuk mengekalkan Phahrolrazi di DUN Pengkalan Kundor bagi meredakan 'pergeseran dalaman' dan menyerahkan kepada Dr Ismail yang sebelum ini dikatakan tiada kerusi untuknya.

Atau apakah usaha itu dilihat untuk 'membisukan' terus suara Dr Ismail dengan meletakkannya di kubu kuat BN - yang sebelum ini beliau dilihat 'tidak sebulu' dengan Azizan sehingga enggan dilantik semula menjadi exco kerajaan.

Dan apakah alasan yang terkuat untuk meletakkan ustaz muda - Ahmad Yahya - di Alor Mengkudu yang dianggap banyak pihak tidak mempunyai akar umbi sekaligus mensia-siakan peranan dan pengaruh Dr Ismail selama ini di kubu kuatnya.

Apakah kerana Ahmad dianggap oleh banyak pihak sebagai 'calon MB kita' menyebabkan Dr Ismail terpelanting nun di Jerlun. Atau wujudnya usaha 'mencantas' semua yang dianggap 'tidak sebulu' dengan 'warlord' PAS di Kedah.

PAS negeri boleh memberi seribu satu alasan, tetapi barang diingat perasaan dan semangat 'lillahi taala' jentera parti yang berpanas dan berembun perlu diambil kira bagi memenangkan calon pilihan mereka di peringkat kawasan dan cawangan.

Pemerhati politik melihat pengaruh Dr Ismail yang juga bekas exco Kedah diperlukan bagi membantu calon PKR merampas kerusi parlimen Alor Setar yang dimenangi tipis oleh menteri kabinet Datuk Seri Chor Chee Heung dengan majoriti 189 undi sahaja pada PRU 2008.

Namun begitu menjawab persoalan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri Mohamad Yusof Husin menjelaskan keputusan meletakkan Dr Ismail diputuskan oleh PAS Pusat yang menurutnya, Dr Ismail patut diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ini kehendak PAS pusat. Beliau patut berada di parlimen. Beliau menang di Alor Mengkudu dan mungkin berdasarkan kepentingan tersebut, beliau perlu diangkat di parlimen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Ditanya sama ada tanggapan meletakkan PAS meletakkan Dr Ismail di parlimen itu dianggap mahu 'membunuhnya', Mohamad Yusof menolak dakwaan itu kerana "sokong parti itu ada di mana-mana dalam negeri itu".

"Penyokong PAS ada di mana-mana sahaja. Kita pernah menang parlimen Jerlun pada 1999. Tapi pada 2008 kita kalah kerana Mukhriz bertanding dan Dr Mahathir pun berkempen.

"Sekarang ini berbeza, di atas kertas kita tidak begitu sukar untuk menang. Kalau kita berjaya sedikit dan gelombang tambahan, mungkin Ayer Hitam (dipertahankan) dan Kota Siputeh dapat dekat kita," katanya.

Mengulas keputusan parti meletakkan Ahmad Yahya menggantikan Dr Ismail di Alor Mengkudu, Mohamad Yusof berkata kerajaan Pakatan memerlukan sumbangan beliau untuk membantu kerajaan negeri dan parti.

Persoalan kedua yang timbul lagi, ke mana hilangnya Dr Mohd Hayati yang berkhidmat dengan cemerlang di parlimen Pendang sebelum ini. Beliau hilang begitu sahaja 'tanpa kubur' dan tiada sebarang kerusi untuknya.

Sebelum ini diura-urakan bertanding di DUN Sungai Tiang, kini tidak disenaraikan terus dalam saf calon yang yang bertanding pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Apakah Dr Hayati dianggap tidak mampu mempertahankan auranya sekurang-kurangnya di dua DUN dalam parlimen Pendang. PAS memutuskan untuk meletakkan di Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di Pendang.

Manakala PAS mempertaruhkan Fadzil Baharom di Sungai Tiang dan mengekalkan Datuk Mohamed Taulan Rasul untuk mempertahankan kubu kuatnya di DUN Tokai. Nama Dr Hayati tidak disebut langsung.

Menjawab perkara berbangkit itu, Mohamed Yusof berkata Dr Hayati dengan 'rela hati' menyerahkan kerusi tersebut kepada timbalan presiden.

Malah, kata Mohamed, parti juga memberi 'hint' mengenai laluan sukar yang ditempuhinya jika beliau bertanding di Sungai Tiang khususnya berdepan dengan masyarakat Siam.

"Dia kata tak apa, tak tanding bagi laluan kepada orang lain. Lagi pun dia ada kerja lain, (beri) tumpuan kepada kliniknya," katanya.

Di DUN Tokai, parti dan kerajaan negeri Pakatan memerlukan khidmat dan pengalaman Mohamed Taulan yang mempunyai hubungan baik dengan pegawai tadbir kerajaan negeri dan membanti Azizan menyelesaikan masalah pentadbiran, kata Mohamed Yusof.

Seorang lagi doktor yang juga bekas exco Dr Hamdan Khalib pula dilaporkan digugurkan dalam senarai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Tanjong Dawai yang dimenanginya dengan majoriti 79 undi pada 2008.

Mohamad Yusof yang pernah ditahan ISA bagaimanapun menjelaskan Dr Hamdan mahu menarik diri dan tidak mahu dicalonkan dalam pilihan raya umum ini tetapi akan membantu parti dan kerajaan.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini