Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Blackout 505: Harun kata jangan, Mahfuz kata boleh

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar menggalakkan ahli parti khususnya di negeri itu menghadiri perhimpunan mempertikai keputusan pilihan raya esok, sekalipun Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dilapor menyarankan sebaliknya.

Enggan mengulas sama ada ia pandangan peribadi Harun, Mahfuz yang juga naib presiden PAS berkata setahunya parti tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan 'Blackout 505'.

NONE Ahli parlimen Pokok Sena itu juga berpandangan penyertaan ahli PAS dalam perhimpunan itu, tidak menghalang usaha PAS untuk menambah ahli baru.

"Boleh tambah ahli, kalau yang bukan ahli parti, mereka melihat usaha ahli PAS yang mendekati anak muda. Saya rasa ini (sertai perhimpunan) adalah usaha berterusan untuk memperkasakan oraganisasi.

"Usaha ini, (tambah ahli) diperluaskan, perlu dilakukan dengan menyertai perhimpunan Blackout," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Mahfuz mengulas kenyataan Harun hari ini yang dilapor mempertahankan pandangannya sebelum ini yang tidak menyokong perhimpunan itu dan menerima keputusan pilihan raya umum lalu dengan hati terbuka.

Laporan Berita Harian hari ini memetik Harun sebagai berkata adalah lebih baik ahli PAS memberi tumpuan kepada usaha gerak kerja untuk memperkasakan parti dan meraih sokongan baru rakyat daripada menyertai perhimpunan yang tidak akan memberi keuntungan kepada parti itu.

NONE Bagaimanapun semalam, penggerak utama himpunan yang dinamakan 'SuaraRakyat 505', Badrul Hisham Shaharin berkata perhimpunan itu tetap diteruskan sekalipun tangkapan beberapa pemimpin pembangkang dan NGO telah dibuat atau beliau sendiri mungkin ditahan.

Mengulas lanjut, Mahfuz percaya penahanan pemimpin politik dan NGO oleh polis dan rampas akhbar ketiga-tiga parti semalam menyebabkan perhimpunan itu menjadi tumpuan.

"Saya percaya dengan tangkapan (pemimpin politik dan NGO) oleh polis, rampasan Harakah, Suara keadilan telah mengingatkan ahli, penyokong dan pendokong PAS, PKR dan DAP (bahawa perhatian) akan tertumpu di Amcorp Mall," katanya.

Beliau yang kini berada di Sarawak bagaimanapun tidak dapat hadir ke perhimpunan itu kerana menghadiri urusan perkahwinan anak saudaranya di Kuching.

ADS