BERITA

Anwar: Jusuf Kalla kata laporan Berita Harian tak benar

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Jul 2013, 11:59 malam

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menangkis laporan yang didakwa memetik kenyataan bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla bahawa siri perhimpunan untuk membantah dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu dibiayai pihak asing.

Katanya, beliau menerima satu nota daripada Jusuf, yang didakwanya menyebut bahawa dakwaan tersebut, seperti yang disiarkan akhbar Berita Harian pada 28 Jun lalu, adalah tidak benar.

Anwar mendakwa, Jusuf juga telah mengutus bantahan serta tuntutan kepada Berita Harian agar akhbar berkenaan membuat pembetulan kepada laporan berkenaan.

Katanya, beliau sejak dari awal lagi tidak yakin bahawa tokoh berkenaan akan mengeluarkan kenyataan “gila” seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan.

Apatah lagi, hubungan persahabatan antara mereka telah terjalin sejak sekian lama, kata Anwar dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

"Pak Jusuf amat prihatin soal perkembangan politik di Malaysia, dan menganggap saya dengan dia dalam keadaan baik. Jadi sebab itu saya mengambil masa beri dan memberi ruang kepadanya untuk memberikan penjelasan.

"Dari awal saya tidak yakin beliau akan mengeluarkan kenyataan sekeras itu," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Anwar berkata, Jusuf dalam nota berkenaan secara khusus menyatakan bahawa tulisan dalam akhbar berbahasa Melayu itu adalah "tidak benar".

Jusuf juga menolak permintaan untuk ditemubual wartawan daripada Malaysia, kata Anwar lagi.

"Jusuf Kalla berulang kali berbicara dengan saya, meminta saya, jangan buat ulasan sehingga beliau mengarahkan media khususnya Berita Harian membetulkan.

"Pak Yusuf Kalla, tahu wartawan Malaysia selalu memutar belit kenyataan. Jadi dia enggan. Jadi dia tolak. 'Tulisan itu tidak benar. Saya akan bantah'," kata Anwar yang membaca nota Jusuf kepadanya.

"Bila beliau sebut begitu, saya tidak mahu buat ulasan berhubung bantahan itu," kata Anwar lagi.

Selain dakwaan menerima tajaan luar, laporan itu turut mendakwa Anwar dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington dan Filipina..

Anwar berkata dakwaan berkenaan pada awalnya dibangkitkan dalam satu laman web yang didakwanya ditaja Umno, dan kemudiannya dihebahkan oleh "media Umno" termasuk akhbar Berita Harian

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.